Keputusan mahkamah bukti kes diadili sebaiknya: Dr Streram

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kerusi DUN Rantau pada PRU14, membuktikan kes ini telah diadili dengan sebaiknya, kata Naib Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram.

Beliau yang juga bekas calon PKR bagi kerusi DUN Rantau turut menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu itu juga, seolah-olah mengembalikan haknya yang sebelum ini telah dinafikan.

“Keputusan ini memang sudah saya jangka, kita telah mendapat kehakiman yang sangat baik di Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban termasuk di Mahkamah Persekutuan.

“Akhirnya terbuktilah apa yang berlaku semasa hari pencalonan PRU14 yang mana saya tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan di Dewan Seri Rembau kerana gagal mempamerkan pas calon, merupakan tindakan yang tidak sewajarnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum hari ini menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi DUN Rantau untuk diadakan.

Dr Streram yang juga merupakan Pakar Bius Pusat Perubatan Nilai itu berkata, gerak kerja bagi menghadapi PRK DUN Rantau sudah lama dilaksanakan dan ia akan terus diperhebat meskipun belum dipastikan siapakah calon yang akan dipertandingkan pada kali ini.

Bagaimanapun Dr Streram optimis, dirinya akan dipilih oleh pihak kepimpinan tertinggi sebagai calon bagi PRK DUN Rantau ini nanti.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi gerak kerja memang sudah kita atur dan ada yang sudah kita laksanakan, tetapi selepas ini memomentumnya mungkin lebih agresif kerana kita mahu masyarakat melihat yang mampu memberikan perkhidmatan yang baik untuk mereka.

“Antara fokus kita adalah dari segi perumahan, kesihatan termasuk peluang pekerjaan kepada golongan belia,” katanya.

Pada 28 April lepas, Dr Streram yang merupakan calon Pakatan Harapan yang mewakili parti PKR tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan SPR untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Pada 23 Mei lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal.

November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Berikutan itu, Mohamad memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!