Pemandu lori maut nahas tiga kenderaan

Sebuah lori terbabas telah memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan di Tapah pada Rabu. Foto: Ihsan PDRM
Sebuah lori terbabas telah memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan di Tapah pada Rabu. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

TAPAH - Pemandu lori tangki maut akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 326, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini pada Rabu.

Dalam nahas kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, A Samynogam, 66, dari Kampung Baru Jalan Jaha, Matang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan membabitkan lori tangki dipandu mangsa dengan dua lori yang membawa muatan bahan binaan dan air mineral.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan ekoran kenderaan dipandu mangsa melanggar dua kenderaan tersebut.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki terbabit melanggar belakang lori muatan bahan binaan yang dipandu lelaki berusia 59 tahun yang berada di lorong kiri menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu jalan.

"Seterusnya kenderaan berat mangsa melanggar dan menyeret lori yang membawa muatan air mineral sejauh 50 meter sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan masuk ke lorong bertentangan," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu lori air mineral berusia 41 tahun cedera di kepala dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

"Pemandu lori tangki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu berusia 59 tahun itu pula tidak cedera dalam kejadian itu. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!