Umat Islam di Perlis mula imarahkan masjid

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Umat Islam di negeri ini mula kembali mengimarahkan masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadan, walaupun masih belum ada tanda-tanda wabak Covid-19 akan berakhir dalam masa terdekat ini.

Suasana pada tahun ini ternyata berbeza daripada tahun lepas apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), membenarkan orang ramai menunaikan ibadat Qiyamullail dan beriktikaf di masjid bermula 3.00 pagi pada malam sepuluh terakhir Ramadan, dengan syarat melakukan penjarakan fizikal lima meter.

Tinjauan Bernama mendapati, kebanyakan masjid di negeri ini mengadakan program Qiyamullail dengan pengisian berdoa, membaca al-Quran dan diakhiri dengan solat tahajud berjemaah, serta makan sahur sejak Ahad (2 Mei bersamaan 20 Ramadan).

Kelonggaran yang diberikan oleh MAIPs, membuka peluang kepada umat Islam melepaskan kerinduan melakukan ibadah tersebut, apabila tidak dapat mengimarahkan masjid pada tahun lepas, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ada masjid menggunakan imam sendiri dan imam jemputan dari dalam negeri Perlis sendiri untuk mengetuai solat jemaah tersebut, membabitkan lapan rakaat dengan setiap rakaat membaca satu muka surat ayat suci al-Quran.

Bernama dimaklumkan semua masjid berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk penjarakan antara seorang jemaah dengan jemaah yang lain di tempat solat, menulis nama dan nombor telefon jemaah atau imbas kod Mysejahtera dan bacaan suhu.

Di Perlis terdapat lebih seratus buah masjid, yang secara tidak langsung menampakkan suasana ceria dengan cahaya lampu seawal pagi melalui aktiviti ihya masjid tersebut.

Umat Islam digalakkan mengadakan program Qiyamullail pada 10 malam akhir bulan Ramadan untuk mencari malam lailatulqadar, yang hikmahnya lebih baik dari seribu bulan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!