CAP kesal tindakan buang bakar sampah di Pulau Jerejak

Pangkalan nelayan yang terjejas akibat pencemaran bahan buangan di perairan Pulau Jerejak.
Pangkalan nelayan yang terjejas akibat pencemaran bahan buangan di perairan Pulau Jerejak.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang dan membakar bahan buangan di Pulau Jerejak, di sini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan tersebut bukan saja menyalahi undang-undang malah mencemarkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Menurutnya, CAP menerima aduan daripada nelayan tempatan berhubung perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang telah lama berlaku namun tiada pihak mengambil tindakan bagi mencegahnya daripada berterusan.

"CAP difahamkan kemungkinan pihak yang bertindak sedemikian adalah dalam kalangan pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang beroperasi berhampiran pulau tersebut.

"Selain itu, pihak tersebut itu juga dipercayai membuang bahan yang sama antaranya plastik ke dalam laut sehingga menjejaskan aktiviti tangkapan nelayan tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, nelayan di kawasan tersebut juga terganggu dengan sangkar ikan yang semakin bertambah selain terancam dengan sisa plastik yang dibuang ke dalam laut.

"Selain kipas bot mengalami kerosakan, pukat mereka juga tersangkut dengan pelbagai jenis bahan buangan. Oleh itu, kita menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

"Kita bimbang jika masalah ini dibiarkan, ia bukan saja boleh mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius lagi malah akan mengancam hidupan marin dan keselamatan nelayan tempatan pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohideen juga meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan mengenai perkara itu kepada umum dan tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang dikenal pasti melakukan perbuatan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!