Rentak kemenangan JDT sudah kembali

Tiga pemain JDT mengawal ketat penyerang KDA FC, Kpah Sherman di Stadium Darul Aman pada Selasa. -Foto: MFL
Tiga pemain JDT mengawal ketat penyerang KDA FC, Kpah Sherman di Stadium Darul Aman pada Selasa. -Foto: MFL
A
A
A

KEMENANGAN yang diburu oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya menjelma pada aksi ke-12 Liga Super 2021 selepas menang tipis ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman pada Selasa.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, biarpun berjaya meraih tiga mata namun beliau menganggap perlawanan tersebut adalah salah satu aksi paling sengit yang dihadapi mereka pada musim ini.

Menurutnya, beliau melihat corak permainan dan persembahan yang ditunjukkan pasukan tuan rumah banyak meningkat terutamanya memberikan saingan sengit pada separuh masa pertama.

"Ini adalah perlawanan yang sukar kerana Kedah sudah meningkatkan corak dan strategi permainan mereka. Namun kami berjaya kembali terutamanya pada separuh masa kedua. Satu gol (pada penghujung perlawanan) memberikan tiga mata dan itu sangat penting untuk setiap perlawanan kami," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Selasa.

Menurutnya, kemasukan pemain gantian seperti Sumareh dan Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya membantu pasukannya lebih memberi tekanan ke kubu tuan rumah sehingga hujung perlawanan.

Sementara itu, mengulas mengenai suasana tegang sebaik tamat babak pertama, beliau berkata, momentum beraksi pada tahap tertinggi menyaksikan kedua-dua pihak dilihat gagal mengawal sedikit emosi.

Jelasnya, bagaimanapun mereka tetap profesional dengan menghormati logo pasukan masing-masing terutamanya meneruskan aksi dengan baik pada separuh masa kedua.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT terus gah di persada Liga Super 2021 dengan 27 mata selepas 12 perlawanan diikuti Terengganu FC 24 mata manakala KDA FC di tangga ketiga dengan 23 mata.

Artikel Berkaitan:

JDT seterusnya akan berkunjung ke Stadium Bandaraya pada 8 Mei ini untuk bertemu Pulau Pinang bagi aksi ke-13 liga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!