Aidil Sharin akui kecewa jaringan saat akhir JDT

Antara aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan pada perlawanan di di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa. - Foto Kedah Darul Aman FC
Antara aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan pada perlawanan di di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa. - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mengakui kecewa dengan keputusan di saat-saat akhir perlawanan yang memihak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), namun memuji prestasi yang ditunjukkan pemain Hijau Kuning sepanjang perlawanan malam tadi.

Menurut Aidil Sharin, semua pemain telah menunjukkan persembahan yang cemerlang di atas padang dan bermain seperti yang diarahkan sehingga mampu menyekat asakan JDT.

“Satu keputusan yang mengecewakan (apabila JDT menjaringkan gol pada minit-minit terakhir), tetapi saya gembira dan ‘respect’ dengan momentum dan prestasi yang ditunjukkan semua pemain, kerana mereka telah bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit.

“Pemain sudah menjalankan tugas sebaik mungkin, namun pasukan JDT bukanlah mudah untuk ditewaskan kerana mereka pasukan yang kuat, apa pun kita terima keputusan ini dan menghormati keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

Pada pertemuan itu, KDA FC yang menyasarkan untuk merampas kedudukan teratas liga, tewas 1-0 kepada Harimau Selatan selepas pelawat dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya di sempurnakan Bergson Gustavo pada penghujung perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Hijau Kuning kini mengumpul 23 mata satu mata di belakang Terengganu FC yang berada di kedudukan kedua manakala JDT kekal di persada liga dengan 27 mata.

Dalam pada itu, Aidil Sharin mahu anak buahnya kembali fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 8 Mei ini.

“Kami akan menggandakan latihan dan merangka strategi agar dapat merubah kedudukan liga, harapan saya agar pemain dapat bangkit dan tidak patah semangat, kami perlu bersedia untuk menentang Sabah, kemudian piala AFC,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora berkata, sepakan penalti di saat akhir telah memisahkan pasukannya untuk berkongsi satu mata dengan Kedah.

Bagaimanapun katanya, pemain JDT terpaksa bekerja keras untuk memenangi perlawanan tersebut, kerana momentum dan prestasi Kedah berada dalam keadaan terbaik.

“Ini perlawanan yang sengit kerana corak permainan Kedah sudah berbeza dan banyak berlaku peningkatan dari segi prestasi pemain, gaya dan juga strategi, namun satu gol telah memberi kami tiga mata berharga,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!