Program Jaringan Prihatin RM3.5 bilion tangani jurang digital: PM
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion dalam usaha kerajaan menangani cabaran jurang digital.
Beliau berkata, program itu dijangka memanfaatkan kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar internet.
Daripada keseluruhan RM3.5 bilion itu, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion, manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.
adir sama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan Internet menjelang 2030," katanya.
Untuk menangani cabaran jurang digital, Muhyiddin berkata tiga strategi utama diberikan fokus iaitu akses, kemampuan kewangan dan kemahiran.
Kerajaan, katanya sedar dalam aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama di sesetengah kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan rendah.
Beliau berkata kerajaan sudah memperuntukkan penaik tarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang merangkumi rancangan gentian optik, serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.
Kerajaan juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion, katanya.
"Insya-Allah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Dari segi kemampuan kewangan pula, Muhyiddin berkata, masih terdapat jurang kemampuan kewangan untuk memperolehi capaian Internet.
Walaupun kos pelan "broadband" (jalur lebar) terendah di Malaysia ialah 1.1 peratus daripada pendapatan negara kasar per kapita bulanan sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun ia masih tinggi bagi sebahagian kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah, katanya.
Kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah yang berpendapatan rendah, katanya.
Dari segi kemahiran pula, Muhyiddin berkata kekurangan kemahiran digital juga menjadi penghalang pada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat.
Menurut tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pada masa ini hanya 50 peratus rakyat yang mempunyai kemahiran digital standard, sementara hanya 25 peratus yang memiliki kemahiran digital lanjutan, katanya.
Untuk menangani isu kemahiran, khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pakai pendigitalan, kerajaan telah menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 seperti Geran Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi Industri berjumlah RM1 bilion dan Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah RM1 bilion, katanya.
Selain itu, kerajaan melalui MCMC telah membina 910 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara, yang merupakan balai raya digital untuk membimbing komuniti melengkapkan diri dengan kemahiran digital seperti perniagaan dalam talian atau e-dagang.
Muhyiddin berkata, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan dalam usaha kerajaan menangani krisis pandemik Covid-19 serta meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif.
"Meskipun keterangkuman digital bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen asas bagi membolehkan inklusiviti sosial dalam kalangan rakyat tercapai.
"Sebagai nadi kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, keterangkuman digital akan terus menjadi tumpuan utama kerajaan bagi merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan saksama," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!