Pulau Besar akan jadi Pusat Tamadun Islam

Che Sukri
Che Sukri
A
A
A

MELAKA - Pulau Besar yang sering dikaitkan 'pulau keramat' akan bertukar wajah tidak lama lagi menerusi projek pembangunan Pusat Tamadun Islam dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pusat itu akan dilengkapi sebuah masjid terapung dianggarkan menelan kos pembinaan sebanyak RM14 juta.

Beliau berkata, bagi memastikan perancangan itu dapat direalisasikan, kerajaan negeri akan melancarkan Saham Wakaf Masjid Pulau Besar yang akan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, JAIM sedang dalam proses menyiapkan kertas kerja sebelum dibawa kepada dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diluluskan.

"Wakaf itu salah satu usaha memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan saham akhirat daripada sumbangan pembinaan masjid itu.

"Saya percaya pelaksanaan ini akan mengambil masa, namun apa yang kita harapkan masjid tersebut bakal menjadi antara masjid tercantik di dunia," katanya ketika ditemui pemberita di Batu Berendam di sini pada Rabu.

Che Sukri berkata, bahagian selatan Pulau Besar akan dibangunkan dengan sekolah tahfiz yang boleh menempatkan seramai 500 golongan cerdik pandai dalam bidang agama.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut merancang membina Quran Village dan Muzium Islam sebagai bukti agama Islam bermula di Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Pulau itu juga akan dikenali sebagai pulau patuh syariah yang mana semua pengunjungnya diwajibkan memakai pakaian menutup aurat walaupun untuk beriadah seperti bermain golf," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!