Penjualan harumanis dalam talian catat jualan RM22 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjualan harumanis secara dalam talian mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan nilai jualan RM22 juta sejak April sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris.

Dalam tempoh itu, kata beliau, pengeluaran harumanis oleh 2,415 pengusaha di bawah Jabatan Pertanian adalah sebanyak 1,174 metrik tan dengan nilai penjualan semasa RM29.3 juta dan 669.58 tan metrik daripada keseluruhan jumlah pengeluaran tersebut dijual melalui dalam talian.

“Ini menunjukkan sambutan rakyat Malaysia terhadap harumanis amat menggalakkan terutama melalui platform dalam talian.

“Diharapkan rakyat dapat terus memberikan sokongan dengan membeli buah mangga istimewa ini tidak kira secara dalam talian. Rebut peluang untuk nikmati harumanis kerana ia hanya ada setahun sekali iaitu dalam tempoh bermula April sehingga Jun ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak 3,336 tan metrik mangga harumanis dijangka dihasilkan pada tahun ini, dengan nilai RM66.7 juta.

Bagi mengalakkan orang ramai membeli secara dalam talian, Mohd Nasir berkata Jabatan Pertanian telah menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat penghantaran seperti Pos Malaysia, Citylink, Line Clear dan Skynet bagi memastikan mangga tersebut dapat dihantar kepada pembeli di seluruh Malaysia.

Beliau berkata hasil kerjasama strategik itu, beberapa penambahbaikan dilakukan antaranya jaminan pihak syarikat bahawa penghantaran mangga istimewa itu tidak melebihi tiga hari.

“Buah ini juga diletakkan dalam rak khas supaya ia tidak bertindan antara satu sama lain serta sampai kepada pembeli dalam keadaan yang baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasir menyarankan orang ramai membuat pembelian mangga istimewa itu melalui pengedar yang sah seperti Agrobazaar Online bagi mengelak ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kita dapat tahu ada peniaga yang menggunakan nama harumanis walhal ia buah mangga jenis lain contohnya mereka gunakan nama Harumanis Kemboja, ia sebenarnya ialah mangga susu dan harganya murah sekitar RM6 satu kilogram sahaja,” katanya.

Beliau menjelaskan harumanis itu biasanya dijual pada RM100 untuk tiga kilogram dan mahal kerana kualitinya amat baik.

“Harga buah ini sedikit mahal, kerana ia adalah buah mangga terbaik dan cara penjagaannya sedikit rumit. Jika ada yang jual murah, pembeli perlu berhati-hati,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!