Orang ramai yakin dengan Vaksin AstraZeneca
KUALA LUMPUR - Ketika wujud pelbagai tanggapan negatif mengenai vaksin Covid-19 AstraZeneca masih ramai yang yakin vaksin itu tidak memberi kesan kepada diri.
Ia terbukti apabila ramai penerima vaksin tersebut tidak menunjukkan gejala sampingan yang teruk selepas 30 minit disuntik vaksin tersebut ketika tinjauan Sinar Harian pada hari pertama pemberian suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPAZ) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Guru, Gillian Holland, 33, berkata, walaupun terdapat berita yang mengatakan ada penerima vaksin yang menghadapi darah beku tetapi beliau masih yakin untuk mengambil vaksin itu.
"Saya yakin kerana keluarga terdekat di United Kingdom sudah mengambil vaksin itu dan semua mereka dalam keadaan yang sihat," katanya.
Pelajar, Ameera Juliyana Jalal, 23, pula mengakui tidak mengalami sebarang gejala selepas 30 minit mengambil vaksin tersebut.
"Alhamdulillah saya rasa OK dan tidak berasa sebarang kesan sampingan. Sebelum ini saya ada membaca bahawa vaksin ini lebih banyak manfaat berbanding mudarat," katanya.
Sementara itu seorang pengurus, Nik Mohd Nazrul Naim Nik Mustapha, 36, berharap lebih ramai ramai rakyat Malaysia mengambil vaksin Covid-19 supaya sama-sama dapat mengekang penularan wabak tersebut.
"Saya harap melalui program vaksinasi ini rakyat Malaysia boleh kembali hidup normal kerana pelbagai varian Covid-19 yang ada sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!