MB Perak nafi jadi calon Parlimen Larut
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan dakwaan kononnya beliau akan menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) bagi kerusi Parlimen Larut.
Menurutnya, persoalan mengenai calon di kerusi Parlimen Larut tidak pernah dibincangkan oleh UMNO Perak.
Jelas Saarani, cuma yang pasti, UMNO akan meletakkan calon bertanding di kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya sebelum ini.
"Tak ada tidak ada perbincangan di mana-mana (letak beliau sebagai calon Parlimen Larut). Saya orang Lenggong.
"Biar halilintar membelah bumi, UMNO tetap bertanding di situ," katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Professional Latex Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif Professional Latex Sdn Bhd, Terence Lim.
Sementara itu, Saarani menjelaskan, calon yang akan dikemukan adalah dalam kalangan anak tempatan di kawasan Parlimen Larut.
Katanya, perkara itu termaktub di dalam Perlembagaan UMNO yang menetapkan pencalonan mesti dikemukakan oleh UMNO bahagian.
Pada Selasa, sebuah portal berita melaporkan bahawa UMNO akan meletakkan calon terkuat pada PRU15 di kerusi Parlimen Larut menentang Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Memetik sumber, portal berita itu mendedahkan antara calon yang akan dipertimbangkan bertanding termasuklah Saarani yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!