Perbuatan beri anak hisap vape diselar

Rakaman video kanak-kanak menghisap vape tular di laman sosial.
Rakaman video kanak-kanak menghisap vape tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) menyelar tindakan sepasang suami isteri yang telah memberikan anak mereka yang dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape sehingga tular.

Presidennya, Rizani Zakaria berkata, tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan ibu bapa kanak-kanak tersebut telah menyebabkan masyarakat memandang serong kepada penggunaan vape.

Beliau berkata, jika perkara seperti ini berterusan, ia akan memberikan reputasi buruk kepada penggunaan vape yang akan melumpuhkan industri yang bernilai RM2.27 bilion ini.

"Walhal hanya segelintir yang berkelakuan buruk dan menyalahgunakannya," kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru, beliau berkata, MVIA dan industri vape membantah penggunaan vape dalam kalangan remaja dan kanak-kanak serta memperjuangkan penggubalan undang-undang khusus berkaitan vape.

"Jika terdapat satu peraturan, tindakan terhadap mereka dapat diambil. Pengguna vape juga perlu dididik berkaitan vape supaya mereka tidak menyalahgunakan produk ini,” katanya.

Tegas Rizani, MVIA sekali lagi menggesa supaya kerajaan segera melaksanakan undang-undang khusus dan mengeluarkan peraturan berkaitan vape dan e-cecair agar perkara seperti ini dapat dibendung.

Terdahulu tular di media sosial video menunjukkan seorang ibu memuat naik video yang menunjukkan dia memberi anaknya dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape sehingga mengundang kemarahan netizen.

Artikel Berkaitan:

Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap dengan vape sebanyak dua kali.

Malah, pada sedutan kali kedua jelas menunjukkan mangsa terasa seperti sukar bernafas.

Pada mulanya, wanita terbabit tetap mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bebas memuat naik apa sahaja di laman sosialnya.

Namun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang kejadian buruk berlaku kepada anaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!