Pemeriksaan ketat di sempadan negeri
GEORGETOWN - Sebanyak 15 sekatan jalan raya dengan pemeriksaan ketat di sempadan negeri ini menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan tiada cubaan rentas negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis akan memantau keadaan bagi memastikan tiada penularan wabak dari luar negeri dibawa masuk ke Pulau Pinang ketika kes Covid-19 yang semakin meningkat.
"Semua sekatan jalan raya akan menjalankan pemeriksaan yang ketat bagi memastikan tiada yang terlepas untuk merentas negeri menjelang dan ketika Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sahabudin memberitahu, cuti kesemua anggota polis juga dibekukan sebagai persediaan menjalankan tugas ketika musim perayaan.
Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei ini dan ketika itu Pulau Pinang masih di bawah PKPB yang mana ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal.
Bagaimanapun katanya, bagi kawasan PKPB, kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakkan fizikal seperti yang dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.
Mengulas mengenai pemeriksaan di rumah, Sahabudin berkata, polis tidak akan pergi dari rumah ke rumah untuk memeriksa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika hari perayaan.
"Tiada kunjungan polis dari rumah ke rumah sebaliknya ketua polis daerah akan memutuskan lokasi anggota perlu melakukan pemeriksaan berdasarkan maklumat yang diterima.
Ismail Sabri pada Selasa turut memaklumkan aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.
Ismail berkata, tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!