Lelaki beri anak hisap vape ditahan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki memberi anaknya berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis telah pergi ke sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Air Panas di sini untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut pada jam 4.50 petang.

"Kanak-kanak itu bersama ibunya telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Arifai berkata, pihaknya juga telah menerima laporan Pegawai Kebajikan Masyarakat berkenaan video tular dalam media sosial seorang kanak-kanak diberi hisap vape pada jam 9.41 malam pada hari sama.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves," katanya.

Menurutnya, suspek berusia 23 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan tindakan seorang wanita memaksa seorang kanak-kanak dipercayai anaknya sendiri menghisap vape tular sehingga menerima kecaman daripada netizen.

Artikel Berkaitan:

Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan, mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit diberi vape untuk dihisap sebanyak dua kali.

Menerusi video tersebut jelas reaksi kanak-kanak berkenaan tidak selesa dipaksa menghisap vape.

Bagaimanapun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak menyangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang terjadi sebarang perkara tidak diingini kepada anaknya.

ARTIKEL BERKATAN: Polis kesan wanita beri anak dua tahun hisap vape

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!