Jana pendapatan dengan puyuh
SIMPANG RENGGAM - Seorang lelaki di Kampung Parit Hassan di sini, nekad melangkah lebih jauh dalam bidang ternakan burung puyuh dengan menjadikan kegagalan perniagaan sebelum ini sebagai pembakar semangat.
Ahmad Jais Mohee berkata, sebelum menceburi bidang penternakan puyuh pada 2001, dia pernah melakukan pelbagai perniagaan termasuk sebagai kontraktor ladang, pengusaha restoran dan peruncitan.
“Pada 2001, saya nekad menceburi bidang ini secara kecil-kecilan dengan 600 ekor burung puyuh sebagai permulaan yang diambil dari Kedah, selain pada ketika itu tidak ramai usahawan menternak puyuh.
“Minat itu timbul kerana ternakan puyuh tidak susah dan ketika itu, Jabatan Veterinar turut galakkan usahawan menceburi bidang ini dan Alhamdulillah pada 2003, saya komersialkan produk ini dengan jenama Puyuh Best,” katanya.
Ahmad Jais, 50, berkata, bagi memastikan perusahaannya berkembang, bapa kepada 17 anak hasil perkongsian hidup dengan empat isteri ini, kemudian membeli mesin penetasan terpakai dan kini mampu menghasilkan 350,000 anak puyuh setiap bulan.
Pada 2016, dia bersama empat isterinya kemudian membuat keputusan untuk menghasilkan sendiri proses makanan puyuh yang formulanya diolah mengikut keperluan pembesaran puyuh.
“Kami berjaya hasilkan dua jenis makanan puyuh iaitu makanan biasa serta organik kerana sebelum ini menghadapi masalah bekalan makanan tidak berkualiti dan harga tinggi sehingga menyebabkan pembesaran anak puyuh terencat.
“Selepas isu makanan puyuh ini selesai, timbul masalah lain apabila semakin ramai usahawan puyuh ini muncul menyebabkan lambakan di pasaran dan memaksa kami mencari alternatif pemasaran lain,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian menghasilkan produk hiliran daripada puyuh pada 2013 dengan memperkenalkan puyuh perap dengan enam perisa, iaitu puyuh rempah, percik, sate, lada hitam, ungkep dan sumbat.
Bagi memasarkan produk tersebut, dia sering menyertai program promosi anjuran jabatan dan agensi kerajaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan serta di pasar tani, pasar lambak dan festival.
“Menerusi promosi itu, kami menggunakan karavan dengan membuat demonstrasi menggoreng untuk dirasai pelanggan.
“Kami juga mempunyai 20 premis jualan terus kepada pelanggan serta melantik 38 ejen.
“Menerusi kaedah itu, ejen hanya perlu keluarkan modal RM1,500 untuk beli puyuh proses dan kami sediakan peti sejuk beku dan tambah baik dari segi pembungkusan, promosi pula secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, isteri pertama, Alimah Paiman, 55, menguruskan rumah tangga termasuk menjaga anak-anak, manakala tiga lagi isteri, Nor Azizah Md Tahir, 43, mengendalikan bahagian perladangan, Osmak Math, 36, dan isteri keempat, Azizah Ahmad, 27, masing-masing menguruskan bahagian pemprosesan, pemasaran dan pentadbiran.
Kini Ahmad Jais menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Ikon Usahawan Daerah Kluang 2016 dan Anugerah Inovasi Produk Puyuh Kebangsaan 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!