200 penduduk terpaksa berbuka dalam banjir

Keadaan banjir kilat di Machang Bubok pada petang tadi selepas hujan lebat lebih dua jam. - Foto FB Muafakat Machang Bubok
Keadaan banjir kilat di Machang Bubok pada petang tadi selepas hujan lebat lebih dua jam. - Foto FB Muafakat Machang Bubok
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kira-kira 10 buah rumah ditenggelami banjir kilat di Machang Bubok di sini melibatkan 200 penduduk selepas hujan lebat pada petang Rabu.

Hujan lebat lebih dua jam sejak jam 5 petang sehingga waktu berbuka puasa menyebabkan penduduk yang terlibat terpaksa berbuka di dalam banjir.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, beberapa kawasan di lokasi tersebut ditenggelami banjir setinggi 0.1 hingga 0.3 meter.

Menurutnya, punca banjir berlaku adalah kerana hujan lebat di kawasan setempat menyebabkan air memenuhi parit selain lokasi tersebut adalah kawasan rendah.

Jelasnya, antara kawasan yang dinaiki air adalah Kampung Tok Musa, Taman Seri Janggus, Taman Impian, Bukit Teh dan Taman Sejahtera.

"Tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, seorang penduduk, Surihani Abdul Ghani, 32, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja.

"Ibu menghubungi saya ketika saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Perai mengatakan air telah memasuki rumah. Saya agak panik terus menghubungi adik lelaki untuk meminta bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Mujur adik saya tinggal dekat saja, dia yang bantu ibu saya menyelamatkan beberapa barangan elektrik dan kelengkapan sambutan Aidilfitri termasuk pakaian baru dibeli. Ibu saya tinggal di rumah bersama dua anak perempuan.

"Saya bimbang kerana banjir berlaku dengan pantas malah arus air juga deras. Ia berbahaya kepada warga emas dan kanak-kanak. Kami sekeluarga terpaksa berbuka puasa dalam banjir," katanya.

Keadaan khemah peniaga bazar Ramadan di Kepala Batas dan Sungai Dua selepas hujan lebat dan ribut. - Foto FB Komuniti Kepala Batas
Keadaan khemah peniaga bazar Ramadan di Kepala Batas dan Sungai Dua selepas hujan lebat dan ribut. - Foto FB Komuniti Kepala Batas

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, banjir kilat di kawasan Machang Bubok mulai surut sejak jam 9 malam.

Menurutnya, polis dan pihak berkuasa lain akan terus memantau kawasan berkenaan dan akan mengambil langkah segera jika hujan lebat semula malam ini.

Sementara itu, puluhan khemah peniaga bazar Ramadan di Kepala Batas dan Sungai Dua rosak teruk selepas hujan lebat dan ribut kira-kira jam 5.30 petang.

Seorang peniaga di Bazar Ramadan Bertam Putra, Kepala Batas, Khairol Azelan Abdul Rashid, 25, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyiapkan tempahan roti john.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas yang mana ramai peniaga tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan mereka.

"Hujan sangat lebat dan ribut juga kuat menyebabkan khemah peniaga di sini dibawa angin. Bukan sahaja khemah malah barang perniagaan juga rosak.

"Ketika kejadian, peniaga di sini hanya fikir nak selamatkan diri dahulu kerana ribut sangat kuat. Jika dihitung, banyak juga kerugian yang kami kena tanggung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!