'Jangan belanja lebih jika tak mampu'

Ab Ghani Hassan - Foto Bernama
Ab Ghani Hassan - Foto Bernama
A
A
A

SEMUA kelab Liga Malaysia (Liga-M) diingatkan sekali lagi untuk berbelanja secara berhemah pada jendela perpindahan pemain yang kembali dibuka mulai 3 hingga 30 Mei ini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, semua pemegang taruh Liga-M juga dinasihatkan mengamalkan perbelanjaan seperti digariskan dalam Program Kawalan Ekonomi (ECP).

Menurut Ab Ghani, kelab-kelab juga perlu bersedia mendisiplinkan aliran kewangan masing-masing berikutan situasi tidak menentu yang melanda dunia pada ketika ini akibat pandemik Covid-19.

“Nasihat saya kepada kelab yang rasa tidak mampu untuk mengambil pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan pemain baharu ini adalah lebih baik mengekalkan barisan pemain sedia ada.

“Jika tidak mampu menyediakan bayaran yang tinggi kepada pemain-pemain tempatan atau import baharu baik jangan ambil risiko sebaliknya fokus kepada usaha mengekalkan survival atau sustainable kelab dalam saingan Liga-M.

“Sustainable itu penting untuk pastikan kelab-kelab terus berada dalam Liga-M pada masa depan sebab kita tidak tahu apa pada masa depan. Jadi kita perlu beringat selalu dalam perkara membabitkan kewangan pasukan ini

“Kalau boleh carilah pemain yang boleh dibayar gaji ikut bajet kelab. Kita tidak mahu kelab-kelab ini dalam keghairahan mencari pemain terbaik dalam memperkuatkan cabaran mereka akan berdepan dengan isu tunggakan gaji,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada masa sama, Ab Ghani menegaskan, pihaknya sentiasa memantau pembayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai kelab bagi memastikan tidak berlaku masalah tunggakan gaji.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kegagalan membayar gaji pemain mahupun pegawai masing-masing pada tarikh yang sepatutnya menyebabkan kelab berkenaan berdepan dengan hukuman pemotongan mata.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa MFL tidak akan berkompromi dengan kelab-kelab sekiranya berulang lagi kes tunggakan gaji pemain, jurulatih dan pegawai kelab pada musim ini.

“MFL seboleh-bolehnya tidak mahu mengenakan pemotongan mata terhadap pasukan yang berdepan dengan isu tunggakan gaji pada musim ini. Jadi kami amat berharap setiap kelab peka dan mengambil iktibar dalam perkara ini,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!