Pembangkang bina aset kerajaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUDAYA politik tanah air tebal dengan kebencian kepada parti lawan – pembangkang ingin hancurkan kerajaan dan kerajaan juga ingin hancurkan pembangkang.

Ramai pemimpin politik tidak sedar, selagi demokrasi bertapak, selagi rakyat ada hak mengundi, maka pembangkang tidak dapat dihapuskan.

Tak kira bagaimana bijaksana dan alim sesebuah kerajaan, sudah pasti ada sebahagian rakyat yang masih tidak gembira dengan sesetengah dasar atau pemimpin kerajaan.

Ia naluri manusia yang diwujudkan pelbagai ragam. Apabila kerajaan mempunyai berjuta-juta bosnya dalam kalangan pengundi, tidak mungkin dia dapat mengambil hati semua bos. Pasti ada yang tidak berpuas hati.

Jika pemimpin politik cukup matang untuk mengerti dan menerima hakikat itu, maka dia akan faham dia tiada pilihan untuk tidak mempunyai pembangkang kecuali dia menghapuskan demokrasi.

Pilihan kerajaan dalam demokrasi cumalah antara pembangkang membina atau pembangkang membinasa.

Rakyat Jerman menghayati peri-pentingnya pembangkang membina setelah pengajaran kejam oleh sejarah. Jerman mula-mula memeluk demokrasi dalam era Republik Weimar yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Pertama. Kebanyakan parti memusuhi sesama lain dan kerajaan naik jatuh dengan kerapnya.

Dalam masa 15 tahun (1918-1933), seramai 14 perdana menteri bergilir-ganti. Ketidakstabilan politik yang berlarutan memberi peluang untuk diktator Adolf Hitler merampas kuasa, memulakan Perang Dunia Kedua dan akhirnya membinasakan negara.

Artikel Berkaitan:

Apabila demokrasi dipulihkan di Jerman selepas Perang Dunia Kedua, rakyat Jerman berpakat bahawa parti-parti aliran perdana seperti Konservatif, Sosial-demokrat dan Liberal tidak boleh memusuhi sesama sendiri. Tiga parti itu akan bersaing secara budiman dan kerajaan campuran akan dibentuk oleh dua daripada tiga parti tersebut.

Parti baharu seperti Parti Hijau (pencinta alam) akan mendapat kelayakan menyertai kerajaan campuran di mata parti-parti lama apabila dasarnya menjadi cukup matang dan tidak lagi terlalu radikal.

Cara Jerman berpolitik yang menggalakkan persaingan membina itu telah membantu negara berkenaan muncul sebagai ekonomi dan negara paling kuat di Kesatuan Eropah dalam masa beberapa dekat selepas kekalahan teruk di bawah Hitler.

Kembali kepada politik di tanah air. Apakah hikmah untuk kita? Kerajaan – tak kira persekutuan atau negeri, tak kira diterajui parti mana – perlu menerima kewujudan pembangkang dan menyambut persaingan membina.

Angan-angan 'pembangkang sifar’ hanya akan menjelma menjadi mimpi ngeri jika pembangkang terlalu lemah, maka kerajaan akan senang digoda oleh keangkuhan dan tamak-haloba, jika pembangkang yang terpinggir berupaya melawan balik, mereka kerap menyerang kerajaan secara radikal.

Ramai kawan liberal selalu mengecam Pas sebagai parti agama yang ekstrim tetapi tidak faham tentang jajaran dan kejayaan Pas sebahagiannya ditentukan oleh mentaliti UMNO yang ingin memonopoli perwakilan Melayu.

Apabila pesaing UMNO yang berhaluan nasionalis (Parti Negara) dan sosialis (Parti Rakyat) berjaya ditumbangkan atau dipinggirkan, maka Pas menjadi parti pembangkang Melayu ‘default’ pada 1969 sehingga Pas dapat menambah 120,759 undi lebih daripada 92,133 undi yang Perikatan hilang. (Sebagai perbandingan kerana BN menyerap Gerakan dan PPP, DAP menjadi pembangkang ‘default’ Cina bermula 1974.)

Apabila Pas hilang kuasa negeri di Kelantan pada 1977 selepas berpakat dengan UMNO selama enam tahun, patutkah kita rasa hairan dengan Amanat Hadi empat tahun kemudian yang mengkafirkan orang UMNO? Bagaimana pula dengan PH? Minggu depan saya kupaskan.

Menyapu lantai dengan lidi,

Menyiram bunga di taman,

Layan pesaing dengan berbudi,

Baru dapat layanan budiman.

* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!