PKP2.0 gagal, kerajaan patut perkasa FTTIS

Pelaksanaan PKP 3.0 pada musim perayaan oleh kerajaan masih dianggap satu keperluan bagi mengekang penularan Covid-19.
Pelaksanaan PKP 3.0 pada musim perayaan oleh kerajaan masih dianggap satu keperluan bagi mengekang penularan Covid-19.
A
A
A

KURANG seminggu lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun keterujaan yang ditunggu-tunggu itu lenyap apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) bermula Khamis sehingga 17 Mei melibatkan enam daerah di negeri Selangor dan Kuala Lumpur bermula Jumaat hingga 20 Mei.

Jumlah kes Covid-19 yang saban hari mencecah empat angka menjadi faktor utama kepada terlaksananya PKP 3.0 yang diharapkan dapat mengurangkan kadar jangkitan virus maut itu.

Namun harus diingat, PKP 3.0 tidak seperti PKP 1.0 yang pernah kita jalani bermula 18 Mac sehingga 12 Mei tahun lalu. Berkuatkuasa di seluruh negara, PKP 1.0 menggariskan beberapa sekatan ketat.

Antaranya larangan pergerakan dan perhimpunan ramai serta penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services) serta larangan pembukaan sebarang perusahaan berkaitan ekonomi.

Selama dua bulan 24 hari, rakyat terpaksa melupakan nikmat kebebasan melakukan aktiviti seharian, namun pengorbanan itu ternyata berbaloi apabila hanya 16 kes Covid-19 direkodkan pada hari terakhir PKP 1.0.

Kejayaan penurunan ketara jumlah kes Covid-19 pada ketika itu bukan saja dibanggakan rakyat malah turut dikongsi komuniti dunia yang memuji cara kita menangani situasi Covid-19.

Selepas PKP 1.0, negara terus mengalami turun naik kes Covid-19, sempat melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerajaan sekali lagi terpaksa melaksanakan PKP 2.0 dari 13 Januari sehingga 14 April meliputi beberapa fasa di beberapa negeri yang menyaksikan aktiviti rentas negeri masih tidak dibenarkan namun sektor ekonomi diberi lampu hijau untuk kembali beroperasi.

Jika dilihat statistik kes Covid sepanjang tempoh PKP 2.0 selama tiga bulan 11 hari banyak kes empat angka direkodkan, tertinggi sebanyak 5,728 kes.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan pembukaan sektor ekonomi penting untuk kelangsungan hidup rakyat, namun ia juga antara faktor penyumbang kepada kenaikan kes disebabkan kerancakan pergerakan keluar masuk rakyat yang kembali bekerja.

Rakyat kini semakin gelisah dan mahukan satu penyelesaian konkrit bukan apa yang dipanggil PKP separuh masak yang akhirnya tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

Di sebalik keperluan PKP 3.0 dilaksanakan, seorang pemimpin pembangkang berpandangan langkah itu sepatutnya bukan dijadikan sebagai satu solusi berulang dilaksanakan kerajaan.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seharusnya memastikan usaha memerangi pandemik Covid-19 adalah berasaskan strategi dan taktikal ‘perang’ tuntas.

“Strategi mujarab kerajaan bagi menamatkan ancaman pandemik Covid-19 adalah menerusi inisiatif pemberian vaksin kepada sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat secepat mungkin bagi membentuk imuniti berkelompok

“Persoalannya, bilakah inisiatif itu mampu dicapai sepenuhnya? Ada yang kata tempoh setahun, menteri pula kata akan cuba selesaikan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Justeru, selagi mana inisiatif memvaksinkan rakyat belum capai tahap diperlukan, kerajaan dan MKN perlu kembali kepada papan hitam bagi memperhalusi strategi pembendungan Covid-19 secara holistik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut menyifatkan kegagalan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan langkah pengesanan kes aktif (ACD) secara menyeluruh di setiap lokasi mudah berjangkit menjadi faktor PKP 2.0 gagal.

“Secara lebih terperinci, kerajaan dan KKM sebenarnya gagal untuk memperkasakan strategi Finding (Kenal Pasti), Tracing (Kesan), Testing (Ujian), Isolation (Kuarantin) dan Support (Sokongan) atau dikenali FTTIS sebagaimana dituntut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selain isu FTTIS, peranan sistem amaran awal kluster Covid-19 menerusi Hotspot Identification For Dynamic Engagement (HIDE) perlu diperluaskan dengan disokong sepenuhnya oleh data-data jangkitan Covid-19 terkini disediakan oleh KKM.

“Tanpa data-data perkongsian KKM yang lebih tepat, HIDE akan sukar untuk mengenal pasti sesuatu kawasan dan premis yang berisiko atau berpotensi menjadi hotspots atau pusat penyebaran Covid-19. Kunci utama kepada kejayaan PKP 3.0 ketika ini adalah bergantung kepada keberkesanan fungsi HIDE untuk menganalisis data dikongsikan KKM,” katanya.

Dr Dzulkefly turut mempersoalkan analisis data yang diguna pakai KKM bagi menjustifikasikannya.

“Saya mengambil contoh angka jangkitan kes Covid-19 membabitkan negeri-negeri mengambil kira nisbah purata 100,000 penduduk bagi tempoh 17 April hingga 30 April lalu.

“Sekiranya data itu diguna pakai, negeri Kelantan sebenarnya mencatatkan purata kes jangkitan tertinggi sebanyak 311 kes bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding Sarawak (303 kes), Kuala Lumpur (225 kes) dan Selangor (159 kes).

“Hakikatnya kerajaan perlu membuat perbandingan berdasarkan ‘epal dan epal’. Kena ada kejujuran dalam mendedahkan data kerana ini melibatkan soal nyawa,” katanya.

Berikutan itu, Dr Dzulkefly menegaskan pelaksanaan PKP 3.0 di Selangor tidak wajar dilaksanakan untuk tempoh melebihi dua minggu kerana ianya ibarat parang tumpul yang tidak dapat membedah dan mengeluarkan barah dalam badan pesakit.

“Saya harus mengakui PKP perlu diadakan, namun bukan masa lama kerana langkah itu akan memberi kesan parah kepada rakyat sama ada dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Bagi seorang pakar kesihatan awam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rosnah Sutan, beliau berpandangan pelaksanaan PKP 3.0 pada musim perayaan oleh kerajaan masih dianggap satu keperluan.

Jelas beliau, hal ini disebabkan kegagalan rakyat untuk menjiwai kepentingan menjaga SOP.

Rosnah turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menyedari mereka tidak boleh menyambut perayaan Aidilfitri sebagaimana amalan terdahulu selagi mana perang terhadap Covid-19 tidak dibendung sepenuhnya.

“Cuma saya berpandangan yang menjadi kemarahan rakyat ketika ini adalah disebabkan definisi PKP bagi setiap waktu pelaksanaannya adalah berbeza dan tidak distandardkan.

“Kita lihat definisi dan SOP PKP 1.0 sangat ketat, namun PKP 2.0 dan PKP 3.0 dilihat amat longgar. Jadi rakyat mula keliru dan apabila mereka dikenakan kompaun, mereka mula mempertikaikan tindakan penguatkuasaan dibuat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!