Perak akhiri kemarau kemenangan

Pemain PJ City, Mahali Jasuli (dua, kiri) diasak oleh pemain Perak pada saingan Liga Super di Stadium MBPJ, malam Rabu.
Pemain PJ City, Mahali Jasuli (dua, kiri) diasak oleh pemain Perak pada saingan Liga Super di Stadium MBPJ, malam Rabu.
A
A
A

PERAK FC akhirnya menamatkan badi empat perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Super, apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Rabu.

Jaringan tunggal skuad Bos Gaurus diraih menerusi penyerang import dari Argentina, Sergio Aguero pada minit ke-26.

Sejak mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas kelab tercorot UiTM FC pada 7 April, Perak FC tewas 3-1 kepada Selangor FC, terikat 1-1 menentang Kedah Darul Aman FC dan kembali kalah tipis 1-0 kepada Melaka United dan 2-1 kepada Sabah FC.

Sementara itu, Selangor FC pula diikat 2-2 oleh pasukan kedua tercorot, Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Aksi yang tertangguh lebih kurang 15 minit kerana masalah lampu limpah stadium, menyaksikan skuad Tok Gajah mengejutkan pelawat menerusi jaringan pemain import baharunya, Manuel Hidalgo pada minit ke-48.

Selangor FC bagaimanapun bangkit mendahului menerusi jaringan pemain import Myanmar, Hein Htet Aung pada minit ke-76 dan pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-87.

Sri Pahang kemudian berjaya menyamakan kedudukan menerusi Abdul Malik Mat Ariff pada masa kecederaan (90+4) untuk berkongsi satu mata.

Berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, Sabah FC membenam Melaka United 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto membuka jaringan seawal minit keenam menerusi bekas penyerang kebangsaan, Mohd Amri Yahyah yang menanduk masuk sepakan sudut, sebelum Mohd Azzizan Nordin mengandakan jaringan pada minit ke-17.

Mohd Amri, pemain berusia 40 tahun, terus menambah derita buat pasukan pelawat menerusi jaringan pada minit ke-47, namun skuad kendalian Zainal Abidin Hassan berjaya mengurang defisit menerusi Mohd Fakhrullah Rosli pada minit ke-65. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!