Maszlee mahu sekolah agama, tahfiz kekal arus perdana

Maszlee bersama delegasi MPPIM diketuai oleh Pengerusi Sekretariat MAPPIM, Mohd Zai Mustafa, semalam.
Maszlee bersama delegasi MPPIM diketuai oleh Pengerusi Sekretariat MAPPIM, Mohd Zai Mustafa, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), kluster Pendidikan Majlis Amal Islam (MAIM), membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan tahfiz untuk kekal berada dalam kerangka pendidikan kebangsaan.

Kata beliau, antara usaha itu termasuklah menghantar murid Tahfiz ke sekolah-sekolah harian dan menjalin kerjasama dengan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi meningkatkan kemahiran murid sekolah-sekolah agama.

Selain itu, beliau juga meminta MAPPIM mempelawa sekolah-sekolah Islam antarabangsa supaya bergabung dengan MAPPIM bagi mewujudkan jalinan yang lebih luas.

"Saya juga meminta supaya Universiti Islam Malaysia memainkan peranan bagi melatih guru-guru sekolah agama rakyat dan institusi Tahfiz demi meningkatkan kemahiran pedagogi dan kepemimpinan sekolah," kata beliau di laman Facebook Kementerian Pendidikan.

Sekretariat MAPPIM, Gabungan NGO Pendidikan Islam Malaysia, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Maszlee di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Delegasi MPPIM diketuai oleh Pengerusi Sekretariat MAPPIM, Mohd Zai Mustafa.

Pada masa yang sama, Maszlee menyarankan agar sekolah-sekolah agama didaftarkan supaya dana dapat disalurkan dengan baik dan berkesan sementara dana yang diberikan dapat diurus dengan amanah dan berintegriti, di samping memudahkan proses auditan.

Dalam pada itu, MAPPIM yang dianggotai lebih 50 buah NGO mewakili sekolah sekolah agama rakyat dan tahfiz menyokong penuh inisiatif yang dilakukan oleh Maszlee dan Kementerian Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zai dipetik berkata MAPPIM akan membantu Kementerian Pendidikan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelaraskan data sekolah-sekolah agama di Malaysia.

"Data-data itu penting untuk menyalurkan bantuan kepada semua sekolah agama di Malaysia," kata beliau.

Dalam pertemuan itu, MAPPIM juga telah membentangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Islam 2020-2030 untuk pertimbangan Kementerian Pendidikan.

Resolusi Kolokium Memperkasakan Pendidikan Islam juga telah diserahkan kepada YB Dr Maszlee hari ini. Kolokium itu berlangsung pada 28 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!