Tuchel kagumi semangat Chelsea
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel kagum dengan semangat dipamerkan pemain The Blues ketika menewaskan Real Madrid 2-0 pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis.
Menurut Tuchel, semangat serta keinginan yang dipamerkan skuad kendaliannya itu ternyata telah membantu untuk memastikan slot ke pentas final piala keagungan bola sepak Eropah itu.
“Kami memang berhak menang kali ini. Separuh masa pertama sememangnya agak sukar apabila pelawat dilihat lebih banyak mengawal bola dan ia cukup menyukarkan pergerakan kami.
“Setiap bola yang berjaya kita menangi adalah pada situasi bahaya di mana kami tidak pernah kehilangan semangat terutamanya untuk bertahan dan kami juga seharusnya menjaringkan gol lebih awal untuk selamat.
“Saya juga tidak ada masa untuk membuat kritikan atas persembahan menakjubkan yang dipamerkan oleh pemain. Tahniah buat mereka,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan Timo Werner menjaringkan gol pada minit ke-28 manakala Mason Mount menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 bagi mengesahkan kemenangan The Blues menerusi aggregat 3-1.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Alfred di Stefano, kedua-dua pasukan terikat 1-1 yang memberikan kelebihan gol di tempat lawan.
Mengulas mengenai persiapan Chelsea untuk berdepan Manchester City di pentas final nanti,, Tuchel mengatakan masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.
“Masa masih terlalu awal untuk kita semua kerana akan ada masalah kecederaan pemain, pemain yang tidak cergas, kita akan tunggu dan lihat.
“Semoga kami semua selamat tiba di Istanbul nanti dan diharapkan kita dapat beraksi di final denan keseluruhan skuad,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!