Fasa 1 SHMMP: 23 kesalahan harga direkodkan di Perak

Abdul Yunus (tiga dari kiri) ketika membuat pemantauan harga di Pasar raya Mydin Parit Buntar sempena pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2021 Fasa 2 peringkat negeri Perak pada Khamis.
Abdul Yunus (tiga dari kiri) ketika membuat pemantauan harga di Pasar raya Mydin Parit Buntar sempena pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2021 Fasa 2 peringkat negeri Perak pada Khamis.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Perak merekodkan 23 kesalahan berkaitan harga sepanjang pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak 21 April lalu.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, jumlah itu membabitkan nilai keseluruhan kompaun RM3,200 dan rampasan berjumlah RM1,601.19 hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas 3,119 premis.

"Daripada 23 kes tersebut, lima kesalahan membabitkan tiada tanda harga sementara kesalahan tiada tanda harga khas berwarna merah jambu, menjual melebihi harga kawalan dan kesalahan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan masing-masing enam kes.

"Hanya satu aduan sahaja telah diterima mengenai harga yang mengelirukan," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2021 Fasa 2 peringkat negeri Perak di Mydin Parit Buntar di sini pada Khamis.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu diteruskan selama 15 hari lagi sehingga 20 Mei ini dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menstabilkan harga barang keperluan pengguna dan mengawal kenaikan harga secara mendadak daripada berlaku sepanjang tempoh perayaan.

"Peniaga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kita juga menggalakkan orang ramai amat untuk membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat peniaga -peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna ketika musim perayaan ini," katanya.

Abdul Yunus berkata, pada SHMMP Hari Raya Puasa fasa kedua ini, KPDNHEP telah mengenal pasti 20 jenis barangan, namun hanya 19 barangan sahaja terlibat bagi negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

"Kategori barangan itu terdiri daripada tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun dan halia tua.

"Turut tersenarai bawang besar merah import, bawang besar (Holland), bawang putih, ubi kentang, cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong), kelapa parut (runcit), ikan segar beku kembung, selayang dan selar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!