PKP: Peniaga buat laporan polis terhadap pemimpin politik

Rusdi (tiga dari kanan) bersama Fakhrulnizam (tiga dari kiri) ketika tiba untuk membuat laporan polis di IPD Raub pada Khamis.
Rusdi (tiga dari kanan) bersama Fakhrulnizam (tiga dari kiri) ketika tiba untuk membuat laporan polis di IPD Raub pada Khamis.
A
A
A

RAUB - Sebanyak tiga laporan polis dibuat oleh peniaga-peniaga kecil di Raub terhadap seorang individu yang juga pemimpin parti politik yang didakwa menyebabkan penularan pandemik Covid-19 di daerah itu.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Raub, Rusdi Ali memberitahu, keadaan itu telah menyebabkan 200 peniaga kecil khususnya di bazar Ramadan terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas bazar di bandar Raub ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 30 April lalu hingga 13 Mei ini.

Menurutnya, walaupun Majlis Daerah Raub (MDR) membenarkan peniaga terlibat beroperasi di lokasi lain seperti di depan rumah, namun ia masih belum memberikan pulangan sewajarnya.

"Memang peniaga boleh berniaga di lokasi lain namun jumlah pelanggan yang hadir hanya kira-kira 25 peratus berbanding di bazar.

"Ini kerana orang ramai lebih suka datang ke bazar untuk membeli-belah," katanya pada Sinar Harian di sini Khamis.

Beliau ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub yang turut dihadiri Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Raub, Datuk Fakhrulnizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Rusdi memberitahu, tindakan individu yang menganjurkan aktiviti sosial di sebuah pusat hiburan telah menyebabkan peniaga kecil terpaksa menanggung kerugian.

"Kami kesal dengan tindakan pihak terbabit dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fakhrulnizam memohon siasatan lanjut oleh pihak berkuasa selain meminta pihak MDR memulangkan cagaran sewaan bazar sebagai tanda simpati kepada peniaga terlibat.

"Kami mahu siasatan lebih telus berikutan pusat hiburan dibuka ketika Ramadan yang jelas tidak menghormati bulan mulia ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!