Kerakyatan anak: Kerajaan gagal batal saman ibu warga Malaysia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan pada Khamis gagal membatalkan saman yang difailkan oleh sebuah pertubuhan masyarakat dan enam ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat hak menjadi warganegara Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir ketika mengetepikan permohonan yang difailkan Jabatan Peguam Negara untuk membatalkan tuntutan itu, menolak hujah kerajaan bahawa kes tersebut remeh.

Akhtar berkata, jelas wujud diskriminasi dalam undang-undang kewarganegaraan Malaysia terhadap golongan ibu warga Malaysia yang menurutnya perlu dijelaskan oleh kerajaan menerusi saman itu.

“Dalam kes ini, wujud diskriminasi yang jelas terhadap ibu dan bapa anak berkenaan, namun tidak ada justifikasi untuk diskriminasi itu. Ketiadaan justifikasi tersebut semakin ketara jika kita lihat peruntukan lain dalam perkara berhubung kewarganegaraan (dalam Perlembagaan Persekutuan).

“Kes ini bukan sesuatu yang remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah. Justeru, saya menolak permohonan pembatalan ini,” kata Akhtar.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk pendengaran saman pemula.

Saman itu difailkan pada 18 Dis tahun lalu oleh Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia.

Mereka menuntut enam perintah mahkamah khusus termasuk perisytiharan bahawa Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1 (c) dibaca secara bersama dengan Perkara 8 (2) untuk memasukkan ibu-ibu Malaysia sebagai syarat bagi anak-anak yang lahir di luar negara diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Artikel Berkaitan:

Antara lain, mereka juga memohon perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan-kedutaan Malaysia mengeluarkan semua dokumen yang berkaitan dengan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu-ibu Malaysia dengan pasangan warga asing.

Pada 27 April 2021, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu dengan mengemukakan beberapa alasan termasuk saman yang difailkan secara saman pemula tersebut sebagai remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Ketika ditemui pemberita kemudian, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijal yang mewakili kesemua plaintif berkata mahkamah turut membenarkan permohonan mereka untuk menyertakan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dalam tuntutan saman mereka.

“Kami mahu mereka bertanggungjawab secara langsung atas segala keputusan yang dibuat oleh mahkamah ini. Jabatan Peguam Negara sudah diperintah menyediakan justifikasi menerusi afidavit dan kami akan membalasnya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!