World #QuranHour berjalan lancar walau dalam normal baharu
ALOR SETAR - Program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) berlangsung dengan lancar walau tanpa kehadiran peserta di auditorium memandangkan Kota Setar masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah PPAK, Shahizan Affandi Zakaria berkata, program selama sejam itu dikendalikan oleh Ustaz Muhammad A'asim Abdul Manaf dari Maahad Tahfizul Quran Langgar dan Maulana Muhammad Yusof Yahya dari Madrasah Masjid Bukit Pinang yang dijalankan melalui aplikasi Zoom dan Facebook live.
Katanya, ini adalah kali kedua program berkenaan dijalankan dalam suasana normal baharu sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
"Sebenarnya banyak pengisian yang kita rancang untuk program ini tetapi memandangkan Kota Setar diisytiharkan PKP sejak 1 Mei lalu jadi kita terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Menurutnya, seramai 283 kakitangan PPAK termasuk rangkaian di Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Desa Negeri dan Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meluangkan masa selama satu jam mengikuti program berkenaan.
"PPAK juga bertanggungjawab untuk mengumpul statistik bagi negeri Kedah, dan pada tahun lepas walaupun kali pertama diadakan dalam normal baharu kita dapati sambutan memberangsangkan dengan jumlah peserta berdaftar seramai 5,388.
"Untuk tahun ini, kita belum mendapat jumlah keseluruhan yang mendaftar, tetapi saya berharap jumlah peserta akan meningkat berbanding tahun lalu," katanya.
Shahizan Affandi berkata, bagi tahun-tahun yang akan datang pihak PPAK akan mengadakan promosi dengan lebih meluas lagi untuk menggalakkan orang ramai berminat untuk membaca al-Quran seperti minat membaca buku.
"Ini kerana melalui World #QuranHour ia bukan setakat kita membaca al-Quran tetapi yang lebih penting adalah kita bertadabbur iaitu kita memahami setiap ayat yang dibaca," katanya.
Sementara itu, antara lokasi lain di Alor Setar yang turut menyahut seruan World #QuranHour ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau yang melibatkan 392 pelajar termasuk pelajar prasekolah. Program itu dipimpin oleh Ustaz Muhammad Puaz Abd Wahab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!