Kerajaan Kelantan perlu minta maaf
KOTA BHARU - Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa mahu Kerajaan Kelantan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak yang sebelum ini dikenakan sekatan bagi memasuki Kompleks Kota Darul Naim.
Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu membayar ganti rugi atas aib yang menimpa semua pihak yang berkaitan terutamanya beliau dan Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim.
“Ternyata langkah sekatan itu tidak bersandar kepada undang-undang. Ia adalah tindakan politik untuk mengacau hak kebebasan mangsa serta cubaan untuk memalukan pihak terlibat.
“Saya menggesa Kerajaan Kelantan memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi atas aib kepada semua pihak berkaitan. Jika tidak, mungkin saman malu dan tuntutan ganti rugi boleh difailkan oleh pihak-pihak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mei lalu, kedua-dua pemimpin itu dilarang memasuki semua Jabatan kerajaan negeri melalui surat pekeliling yang diedarkan kepada lebih 2,000 kakitangan kerajaan negeri.
Mereka juga tidak dibenarkan memasuki enam istana di negeri ini termasuk Istana Telipot, Istana Kota Lama dan Istana Balai Besar.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad melalui satu surat bertarikh 21 November mengumumkan penarikan balik larangan kepada individu yang disenaraihitamkan daripada memasuki Kompleks Kota Darulnaim dan semua pejabat Kerajaan Kelantan.
Namun, larangan untuk memasuki istana melibatkan individu tersebut masih berkuat kuasa.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penarikan tersebut, Husam berkata, beliau bersyukur dengan keputusan yang dibuat dan berharap semuanya akan kembali seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!