Najib kena kompaun langgar SOP

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemilik sebuah restoran serta semua yang terlibat dalam video tular di media sosial yang memaparkan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah restoran, di sini pada 20 Mac lalu dikenakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan mengenai pelanggaran SOP Najib di sebuah restoran telah dikembalikan dari pejabat Peguam Negara pada Khamis.

"Najib dikenakan kompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

"Kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan semasa memasuki premis nasi ayam hainan dan kesalahan kedua gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, selain itu turut dikenakan kompaun adalah pemilik restoran tersebut.

"Pengurus restoran dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP.

"Selain itu, semua yang terbabit akan dikeluarkan kompaun dalam masa terdekat dengan nilai kompaun keseluruhan RM13,000," katanya.

23 Mac lalu, polis menjalankan siasatan mengenai video tular di media sosial yang memaparkan Najib yang didakwa melanggar SOP PKPB di sebuah restoran di sini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!