ATM terima sumbangan RM1.27 juta daripada 58 agensi
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan sebanyak RM1.27 juta daripada 58 agensi bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada minggu depan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha tersebut dilakukan bagi menghargai dan mengingati warga tentera yang bertugas di perbatasan negara serta di negara lain di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Sesungguhnya usaha tulus dan ikhlas ini membawa pengertian besar bahawa pengorbanan mereka tidak pernah dilupakan apatah lagi dinafikan.
“Usaha murni ini tidak mungkin dapat menepati matlamatnya sekiranya tanpa penglibatan daripada syarikat-syarikat dan ahli korporat yang telah sudi menghulurkan sumbangan samada dalam bentuk kewangan atau barangan untuk disampaikan kepada perwira-perwira negara yang akan bertugas pada hari raya nanti.
“Keperihatinan dan keikhlasan mereka membuktikan bahawa masyarakat amat menghargai curahan perjuangan dan pengorbanan anggota ATM dalam menjaga tanah air tercinta ini,” katanya ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan pada Khamis.
Tambah beliau, masyarakat juga sedar ATM banyak menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran negara lebih–lebih lagi dengan usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang memasuki tahun kedua.
Dalam pada itu, ATM juga menerima sumbangan wang zakat yang disalurkan oleh Tabung Zakat ATM daripada Affin Islamic Berhad dan Koperasi ATM.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata ATM telah menyediakan 15,000 beg hari raya yang akan diagihkan kepada anggota yang bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan negara pada hari lebaran nanti.
“Jumlah ini adalah bagi anggota yang bertugas di perbatasan negara samada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara di bawah misi panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Insya-ALLAH, kita akan pastikan sumbangan hari raya yang telah disediakan ini akan dapat dihantar ke destinasi sama ada di dalam mahupun di luar negara sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri," ujarnya
Ismail Sabri juga berharap para penyumbang dapat terus kekal bersama menghulurkan sumbangan demi kebajikan warga ATM.
“Saya bagi pihak seluruh warga ATM sekali lagi ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terhingga kepada para dermawan yang telah bermurah hati memberikan sumbangan kepada ATM.
“Semoga sumbangan seperti ini akan menjadi contoh dan dorongan kepada pihak lain yang masih belum berpeluang dan berkesempatan menyumbang untuk sama-sama tampil ke hadapan mengikuti jejak langkah tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!