Bergantunglah kepada ALLAH seperti tuntutan surah Al-Mulk

Mohd Rozamli Mohd Rozak
Mohd Rozamli Mohd Rozak
A
A
A

KUANTAN - Surah Al- Mulk menuntut manusia agar bergantung kepada ALLAH SWT sepenuhnya, khususnya ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

Penyelaras Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, setiap perkara yang berlaku termasuk dalam situasi pada hari ini adalah dalam genggaman ALLAH.

"Kita perlu mengambil tadabbur daripada Surah Al-Mulk sebagai motivasi kepada setiap insan bahawa semua yang berada di atas muka bumi ini di dalam genggamanNya.

"Jadi, sebab itu, kita perlu sedar hakikat kehidupan ini dengan bergantung sepenuhnya kepada ALLAH," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program World #QuranHour di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini pada Khamis.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Rektor KUIPSAS, Profesor Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Syed Ibrahim (depan, tengah) hadir pada majlis World #QuranHour di Masjid KUIPSAS, Kuantan pada Khamis.
Syed Ibrahim (depan, tengah) hadir pada majlis World #QuranHour di Masjid KUIPSAS, Kuantan pada Khamis.

Pengetua Madrasah Darul Ulum Sungai Salan, Jerantut, Maulana Johari Mohd Ali telah menyampaikan tadabbur surah Al-Mulk yang dihadiri kira-kira 200 kakitangan dan penduduk di sekitar KUIPSAS.

Mohd Rozamli menjelaskan, surah terbabit memberikan tiga motivasi kepada manusia merangkumi tabarak (keberkatan), ingat kepada kematian dan amalan yang perlu diaplikasi dalam kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dari sudut keberkatan, surah berkenaan banyak mengajar manusia supaya mencari keberkatan dalam hidup.

"Kalau kita lihat dengan situasi yang berlaku pada hari ini sebagai contoh, seseorang itu ramai anak, banyak harta dan sebagainya, semua yang dikurniakan ALLAH ini perlu ada keberkatan," ujarnya.

Selain itu, jelasnya, kematian itu pasti dan semua perlu mengingati mati serta perlu menpersiapkan diri kerana kehidupan bermula selepas mati.

"Kita perlu sedar hakikat kematian dengan sentiasa memperbaiki hidup agar pengakhiran (kematian) yang baik,” katanya

Sehubungan itu, beliau berkata, setiap manusia perlu melakukan amalan baik sebagai hamba ALLAH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!