Sayu tidak dapat sambut Aidilfitri bersama keluarga
KUANTAN - Berjauhan dengan keluarga antara dugaan paling besar perlu ditempuh oleh seseorang penuntut yang berada di perantauan kerana ia meruntun sayu apatah lagi meraikan Syawal tanpa sanak saudara di sisi.
Kesayuan itu dirasai oleh 120 penuntut dari empat institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang apabila mereka terpaksa menyambut Aidilfitri di kolej masing-masing susulan wabak Covid-19.
Mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Ahmad Adli Abdul Rahim,21, berkata, hatinya jadi tersentuh dek emosi setiap kali memikirkan sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, perasaan itu hadir setiap kali bercakap dengan ibu dan ayahnya yang berada di Kuala Terengganu
dan dia tidak dapat pulang ke kampung seperti dijadualkan susulan situasi semasa pandemik Covid-19.
"Ini pengalaman pertama saya tidak dapat pulang menyambut hari lebaran bersama keluarga.
"Tapi saya anggap ini pengajaran baru untuk saya merasai suasana beraya di perantauan. Bukan saya seorang sahaja tetapi ada kawan-kawan yang sama nasib seperti saya," luahnya ketika ditemui selepas berakhirnya program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang di Masjid KUIPSAS pada Khamis.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Ab Razak Abu Musa Saari dan turut dihadiri Rektor KUIPSAS, Profesor Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Semua penerima adalah mahasiswa dari KUIPSAS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Kuantan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP).
Yayasan Pahang memperuntukkan kira-kira RM24,000 bagi menjayakan program tersebut pada tahun ini.
Anak sulung dari lima beradik yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda syariah kehakiman itu belum memikirkan apa yang akan dilakukan pada hari raya pertama nanti.
Ditanya mengenai sumbangan itu, Ahmad Adli berterima kasih kepada pihak Yayasan Pahang kerana prihatin terhadap nasib mereka.
Sementara itu, rakannya Mohamed Mikhail Mohamed, 22, berkata, sumbangan tersebut dapat menghilangkan sedikit rasa kerinduan kepada keluarganya yang berada di Ayer Hitam, Pulau Pinang.
"Ini kali pertama menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga. Pada tahun lalu kami mengikuti pengajian secara dalam talian, jadi bolehlah beraya bersama keluarga.
"Ini adalah pengalaman baharu untuk saya dan rakan-rakan yang lain.Saya terima hakikat bahawa wabak ini memang banyak mengubah cara hidup kita," katanya yang kini berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah sarjana muda dakwah di KUIPSAS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!