'Arwah anak 12 kali tukar kerja tetap carum Perkeso'

Shukri menyampaikan replika cek kepada Fatimah di rumahnya dekat Kampung Bakar Bata Pinang Tunggal, Sungai Petani pada Rabu.
Shukri menyampaikan replika cek kepada Fatimah di rumahnya dekat Kampung Bakar Bata Pinang Tunggal, Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang ibu tunggal tidak menyangka arwah anaknya membuat pertukaran tempat kerja sehingga 12 kali dalam tempoh tiga tahun sebelum meninggal dunia tahun lalu.

Fatimah Hashim, 49, dari Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal berkata, dia langsung tidak tahu perkara itu sehinggalah dimaklumkan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melakukan siasatan terhadap status caruman anaknya, Muhammad Abdul Aziz Abdullah, 24.

Menurutnya, biarpun sering bertukar tempat kerja, namun bersyukur kerana majikan arwah anaknya menitik beratkan aspek kebajikan dengan membuat caruman Perkeso sehingga membolehkan waris menerima manfaat sepanjang hayat.

"Rasa bersyukur kerana dapat Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat sebanyak RM711.87 sebulan sepanjang hayat, Alhamdulillah boleh bantu buat belanja," katanya.

Fatimah yang sebelum ini menjadi pembantu kedai makan mengucapkan terima kasih kepada Skuad Perkeso Prihatin Sungai Petani yang bertindak menguruskan permohonan tuntutan sehingga membolehkan dia menerima manfaat.

Arwah Muhammad Abdul Aziz yang meninggal dunia tahun lalu.
Arwah Muhammad Abdul Aziz yang meninggal dunia tahun lalu.

"Syukur sangat sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba, bolehlah buat persiapan kerana saya sendiri tidak bekerja sepanjang bulan puasa kerana menjaga adik arwah yang terlantar sejak lapan tahun lalu," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Sungai Petani, Shukri Mohammad Daud berkata, semakan rekod pihaknya mendapati arwah bekerja dan mempunyai caruman terakhir dengan syarikat Jyoto Works Malaysia Sdn Bhd iaitu pada Januari 2019.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati arwah mempunyai caruman antara 2016 hingga 2019 dengan caruman berselang-seli daripada 12 syarikat dalam tempoh tersebut," katanya.

Beliau yang turut hadir menyampaikan sumbangan kepada Fatimah di rumahnya berharap dengan adanya bantuan tersebut dapat meringankan beban kewangan yang sedang ditanggung keluarga itu.

"Perkeso amat menitikberatkan kesedaran perlunya mencarum agar kebajikan pekerja dan orang tanggungan dapat dibela sekiranya berlaku musibah," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!