Sektor perdagangan pengedaran beroperasi seperti biasa semasa PKP
PUTRAJAYA - Sektor perdagangan pengedaran seperti peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Nanta berkata, aktiviti sektor perdagangan pengedaran adalah mengikut waktu operasi yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) am yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, senarai aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang berkaitan boleh didapati melalui pautan berikut di portal KPDNHEP iaitu https://www.kpdnhep.gov.my/ms/pengumuman/957-senarai-aktivitisektor-perdagangan-pengedaran-yang-dibenarkan-beroperasi-di-bawahperintah-kawalan-pergerakan-pkp.html.
SOP Sektor Perdagangan Pengedaran dalam tempoh PKP boleh didapati di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my, katanya.
Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKP di kawasan-kawasan tertentu di Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan serta seluruh Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dan pada masa yang sama memastikan pertumbuhan ekonomi dalam negara dapat terus berkembang.
Menyeru pemain industri sektor perdagangan pengedaran dan pengguna untuk mematuhi SOP PKP, Nanta mengingatkan kegagalan mematuhi SOP PKP boleh dikenakan tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan.
Beliau berharap tahap pematuhan yang tinggi seperti semasa PKP sebelum ini dapat dikekalkan dimana daripada 528,581 premis yang diperiksa sehingga 5 Mei tahun ini, sebanyak 520,028 premis atau 98.36 peratus patuh, 597 premis atau 0.11 peratus diberi amaran dan hanya 178 premis atau 0.03 peratus dikenakan kompaun.
“Sekiranya, pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik termasuklah mencadangkan kepada MKN untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan di talian penting 03-8882 5881/5905 atau melalui e-mel kepada spip@kpdnhep.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!