Pasang peranti penggodam ATM, tiga lelaki ditahan
KUALA LUMPUR - Tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai memasang alat peranti penggodam di sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) di Jalan Changkat Bukit Bintang di sini, Ahad lalu.
Mereka yang berumur 30, 33, dan 48 tahun itu ditahan di sebuah kedai serbaneka 24 jam berdekatan mesin ATM terbabit.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan susulan aduan diterima dan pemeriksaan dibuat di mesin ATM berkenaan kira-kira jam 9.30 malam.
“Hasil pemeriksaan di mesin ATM terbabit terdapat satu unit benda asing yang mencurigakan dilekatkan pada ruangan atas papan kekunci mesin ATM dan satu lagi pada ruangan masuk kad ATM.
“Pemeriksaan lanjut ke atas alat tersebut dikenal pasti sebagai komponen pengimbas kad kredit atau debit slot yang dilekatkan pada ruangan masuk kad dan satu lagi adalah alat perakam video yang dilekatkan pada ruangan atas papan kekunci,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!