Bersatu ke Sabah: Shafie pemimpin jiwa besar
KOTA KINABALU - ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan dan pendirian Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan Bersatu ke Sabah.
Beliau berkata, penerimaan itu menunjukkan Presiden Warisan , Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah seorang pemimpin yang matang, berpengalaman dan ingin melihat rakyat Sabah bersatu padu tanpa mengira suku kaum.
"Hubungan baik dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat penting demi kepentingan, kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
"Selain itu, bagi membolehkan kelangsungan pembangunan yang berkesan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Shafie kerana menerima baik Bersatu mengembangkan sayap ke Sabah.
"Ini menunjukkan beliau (Mohd Shafie) adalah pemimpin yang berjiwa besar. Saya bersama-sama rakan-rakan seperjuangan yang lain akan sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri terutama dasar-dasar yang baik untuk kebaikan dan masa hadapan rakyat dan negeri Sabah", kata Hajiji.
Semalam, Ketua Menteri itu berkata, parti Warisan di bawah pimpinannya tidak menghalang Bersatu atau mana-mana parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.
Bagaimanapun Mohd Shafie berkata parti Warisan Sabah akan tetap berpegang teguh kepada pendirian dan halatuju parti.
Baru-baru ini, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa parti itu akan melebarkan sayap ke Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!