Kaut untung tipu pelancong asing

Zubir menunjukkan antara dompet tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Selasa.
Zubir menunjukkan antara dompet tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaut untung besar jual barang 'copy ori' kepada pelancong asing.

Peniaga di Petaling Street dikesan sanggup meletakkan harga cekik darah kepada pelancong asing berikutan permintaan tinggi barangan berjenama popular terdiri daripada jam dan beg tangan di kawasan segi tiga emas itu.

Itu antara taktik licik peniaga di Jalan Petaling, di sini yang didedahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur susulan serbuan membabitkan empat buah stor dan dua gerai pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, operasi sepasukan pegawai dan anggotanya pada jam 3 petang itu bertindak hasil risikan selama satu minggu susulan maklumat yang diterima pihaknya.

Menurutnya, serbuan itu bertindak merampas 1,080 unit barang disyaki tiruan terdiri daripada jam tangan, kasut, beg tangan dan dompet yang menggunakan jenama terkenal.

Zubir (kiri) menunjukkan antara barang tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Selasa.
Zubir (kiri) menunjukkan antara barang tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Selasa.

"Dianggarkan nilai rampasan ini berjumlah RM48,603.

"Kita turut berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an disyaki adalah peniaga utama barangan tiruan di Jalan Petaling serta pemilik stor berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Zubir berkata, siasatan mendapati barang tiruan itu diimport dari negara luar sebelum dikumpul di stor terbabit.

Katanya, bagi menyukarkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan, stor terbabit juga dikawal dengan kamera litar tertutup (CCTV), selain pagar besi dan ditutup dengan rapi.

Sebuah stor barang tiruan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang diserbu KPDNHEP Kuala Lumpur pada Selasa.
Sebuah stor barang tiruan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang diserbu KPDNHEP Kuala Lumpur pada Selasa.

"Semasa serbuan dilaksanakan, anggota operasi juga berdepan provokasi daripada suspek yang menggertak dan sebagainya bagi menyukarkan tindakan kita. Tindakan sebegini bukan sahaja berlaku di Jalan Petaling, malah di semua lokasi serbuan yang kita lakukan.

"Kita percaya, barangan tiruan itu selain dijual di Jalan Petaling, KPDNHEP Kuala Lumpur juga yakin ia juga dijual secara dalam talian," katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan barangan tiruan itu dijual dengan harga berlipat ganda kepada pelancong asing berbanding warga tempatan.

"Ini terbukti dengan paparan harga pada seutas jam tangan bernilai ratusan hingga ribuan ringgit.

"Bagaimanapun, sudah tentu pelancong mengetahui barang yang dibeli mereka itu adalah tiruan. Namun, disebabkan faktor harga dan jenama, ia tetap dibeli," katanya.

Tegas Zubir, kes ini masih dalam siasatan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Antara jam tangan disyaki tiruan yang memaparkan berlipat ganda telah dirampas KPDNHEP Kuala Lumpur dalam serbuan stor dan gerai di Jalan Petaling pada Selasa.
Antara jam tangan disyaki tiruan yang memaparkan berlipat ganda telah dirampas KPDNHEP Kuala Lumpur dalam serbuan stor dan gerai di Jalan Petaling pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!