'Syukur berkahwin, dikurniakan bayi semasa PKP'
KUALA LUMPUR - Seorang wanita tidak menyangka mengalami pengalaman indah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Sarah Izzati Hasnol, 26, bersama Zainal Akmal, 26, mendirikan rumah tangga pada 30 Mei 2020 dalam tempoh PKP 2.0 dan tahun ini, pelaksanaan PKP 3.0, mereka dikurniakan bayi lelaki.
Pasangan itu juga bersyukur kerana anak mereka Muhammad Aidan yang baharu berusia tiga hari dilahirkan sihat.
Menurut Sarah Izzati, walaupun majlis perkahwinannya tidak seperti individu lain tetapi menjadi pengalaman cukup manis buat dirinya dan suami yang telah berkenalan selama 10 tahun.
"Alhamdulillah, sepanjang pandemik Covid-19, saya dapat mengecapi impian untuk menjalani kehidupan bersama suami dan kini dianugerahkan bayi yang comel.
"Semua yang berlaku ada hikmahnya terutama ketika penularan pandemik Covid-19. Apa yang dirancang dipermudahkan.
"Bimbang pelbagai dugaan mendatang seperti sesetengah mereka yang terputus hubungan dan perlu menangguh perkahwinan akibat pandemik ini tetapi saya bersyukur apa yang dirancang semua berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menyentuh mengenai pengalaman ketika hamil dan melahirkan bayi dalam musim pandemik, ujar Sarah, ia merupakan satu momen yang sukar dilupakan dan amat berharga.
"Memang benar agak sukar mengandung dalam situasi ini kerana berisiko. Kaedah penjagaan diri perlu dititikberatkan malah perlu lebih cekal kerana suami tidak berpeluang menemani ketika ada temu janji dengan doktor. Perlu pergi sendiri sahaja.
"Walaupun begitu, saya bersyukur kerana suami boleh menemani ketika berada di bilik bersalin tetapi sebagai syarat perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
"Saya selamat melahirkan Muhammad Aidan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur tetapi bagi mereka yang memilih hospital kerajaan, suami tidak dibenarkan teman. Saya mendoakan urusan mereka dipermudahkan dan semoga diberi semangat dan kekuatan yang tinggi," jelasnya.
Dalam pada itu, Sarah turut berharap wabak Covid-19 berakhir dengan cepat dan kehidupan kembali normal.
"Rindu dengan kehidupan yang dulu, bebas pergi ke mana sahaja, boleh jumpa orang tersayang bila-bila masa. Saya pasti ramai tidak sempat hendak membawa anak-anak yang baru lahir jumpa nenek dan datuk masing-masing kerana pelaksanaan PKP.
"Saya berharap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membuka lembaran baharu buat rakyat negara ini ke arah kehidupan lebih baik tanpa perlu PKP lagi dan bebas wabak yang meragut jutaaan nyawa seluruh dunia," tambahnya.
Sebelum ini tular ciapan Sarah di Twitter berkongsi cerita mengenai perjalanan pelaksanaan PKP yang mengubah kehidupannya menjadi lebih baik termasuk baru-baru ini kerajaan juga mengumumkan PKP 3.0 dilaksanakan di beberapa daerah di seluruh negara.
"Uish aku rasa aku punya 'progress' PKP paling dasyat. PKP 1.0 single (bujang), PKP 2.0 married (berkahwin), PKP 3.0 ada anak satu!!! Alhamdullilah," ciapnya.
Ciapan itu menarik perhatian warganet yang rata-ratanya mengucapkan tahniah kepadanya dan diulang ciap lebih 5,100 serta lebih 11,700 tanda suka sejak dimuat naik pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!