Anih Berhad siap sedia sepanjang Aidilfitri
KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Anih Berhad bersedia mengurus operasi tol, trafik dan fasiliti di lebuh raya itu walaupun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan menjelang perayaan Aidilfitri kali ini.
Anih menjangkakan purata harian trafik di KLK mencecah 70,180 kenderaan dan 40,250 kenderaan di LPT1 bermula Sabtu hingga 17 Mei depan.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengguna lebuh raya terutama di Pahang dapat menikmati perjalanan yang selesa ketika merentas daerah melalui KLK dan LPT1.
Menurutnya, pihak konsesi akan memastikan kemudahan lebuh raya seperti di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah, perkhidmatan tol dan trafik sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Bagi membendung penularan wabak Covid-19, semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu yang ditetapkan.
"Justeru pengguna lebuh raya dinasihati sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutama ketika menggunakan kawasan R&R dan Hentian Sebelah," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat..
Nik Fauzi berkata, sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR) pihaknya menyediakan pelitup muka percuma yang akan diedarkan kepada pengguna di semua Pusat Khidmat Pelanggan di sepanjang KLK dan LPT1 bermula pada 10 Mei ini.
Pengguna turut dinasihatkan memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
"Bagi urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah
dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK; R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat dan Plaza Tol Gambang bagi LPT1.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini syarikat di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook LPT1 Timur," katanya.
Menurutnya, sebarang kecemasan boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!