Pematuhan sektor peruncitan, pemborong terhadap SOP tinggi
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyifatkan kepatuhan sektor peruncitan dan pemborong terhadap prosedur operasi standard (SOP) semasa Covid-19 tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, disebabkan itu pihaknya membenarkan 38 jenis perniagaan boleh beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung kini.
“Mereka akur kepada SOP sampai ke tahap 98 peratus. Jadi dengan data, sains dan maklumat fakta ini kita berani membenarkan 38 perniagaan dibuka,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Raya (JPR) di kementeriannya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, pihaknya dimaklumkan ada pihak yang mempersoalkan sesetengah kedai tersebut dibuka semasa PKP walaupun ia bukan perniagaan penting.
“Ingat, mungkin (perniagaan) perabot itu bukan penting tapi menjelang hari raya mungkin ada juga yang memerlukan.
“(Perniagaan) emas itu bukan penting tapi kami ini nak menjaga kelangsungan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya premis perniagaan itu tidak dibenarkan beroperasi, kemungkinan perniagaan mereka ini akan terjejas dan ramai orang yang akan kehilangan pekerjaan.
“Mungkin emas bukan penting tapi pekerjaan itu perlu kepada mereka yang memerlukan untuk mendapat gaji atau upah bagi menyara hidup, membeli barang makanan bagi merayakan Hari Raya Aidilfitri.
“Mereka memerlukan gaji atau upah sebab itu selepas kami berunding dan memikirkan sedalam-dalamnya kita harus melihat dari sudut kelangsungan perniagaan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!