Bekas Presiden Maldives cedera dalam letupan bom

Pihak polis menutup kawasan letupan bom yang mencederakan bekas Presiden Maldives. - Foto Getty Images Gambar kecil: Mohamed Nasheed
Pihak polis menutup kawasan letupan bom yang mencederakan bekas Presiden Maldives. - Foto Getty Images Gambar kecil: Mohamed Nasheed
A
A
A

MALE - Bekas Presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang juga Speaker Parlimen cedera dalam satu letupan bom dekat dengan rumahnya pada Khamis dan kini sedang dirawat di sebuah hospital.

Menurut seorang pegawai kepada AFP, bom yang dipasang pada sebuah motosikal meletup ketika beliau yang berusia 53 tahun mahu memasuki keretanya di Male.

Pegawai itu berkata, Nasheed terselamat dalam satu percubaan bunuh tetapi mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil.

Anggota-anggota polis dan pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian dan mengawal lokasi letupan bom itu.

Polis mengesahkan bahawa Nasheed mengalami kecederaan tetapi tidak memberikan butiran lanjut dan menyatakan beliau dirawat di Hospital ADK di Male.

Seorang anggota keluarganya memberitahu beliau mengalami banyak kecederaan dan luka yang dalam pada salah satu lengannya.

Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan turut cedera dan dirawat di hospital.

Sidang Parlimen yang kini berhenti rehat akan memanggil satu sidang khas berikutan serangan bom itu.

Artikel Berkaitan:

Letupan itu berlaku sebelum perintah berkurung dilaksanakan di Male sebagai sebahagian daripada langkah untuk menghalang penularan Covid-19 di negara itu.

Nasheed dipilih untuk menjadi Presiden dalam pilihan raya yang demokratik selepas Maldives ditadbir secara autokratik selama 30 tahun dan memegang jawatan itu dari tahun 2008 hingga 2012 sebelum meletakkan jawatan setelah berlaku tunjuk perasaan yang diketuai pembangkang bagi membantah penahanan seorang hakim kanan di negara tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!