PKP: Peniaga lemang tidak bermusim akui ‘sunyi’

Sarina (kiri) hanya menerima tempahan pelanggan tetap sahaja kali ini memandangkan orang ramai tidak boleh bergerak untuk rentas daerah mahupun negeri bagi mendapatkan lemangnya.
Sarina (kiri) hanya menerima tempahan pelanggan tetap sahaja kali ini memandangkan orang ramai tidak boleh bergerak untuk rentas daerah mahupun negeri bagi mendapatkan lemangnya.
A
A
A

KUALA KRAI – Tiada lagi kesibukan kenderaan dan keriuhan peniaga lemang memanggil pelanggan di Kampung Lemang, Manek Urai di sini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, peniaga lemang yang ditemui bersyukur kerana masih menerima tempahan walaupun tidak banyak seperti sebelum pandemik Covid-19.

Sarina Hassan, 45, yang ditemui berkata, dia menerima lebih 200 batang lemang untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

"Kedai saya tidak beroperasi sejak awal Ramadan lalu kerana PKP tetapi masih sibuk menguruskan perniagaan itu kerana ramai yang bertanyakan juadah wajib pagi lebaran itu," katanya.

Sarina yang sudah 14 tahun berniaga lemang memberitahu, walaupun kini dia menguruskan kebun tetapi tidak mahu menghampakan pelanggannya dan berusaha memenuhi permintaan tersebut dengan menyediakan keperluan bahan asas sejak Khamis lalu.

“Ada juga pelanggan dari luar Kelantan yang menempah untuk dihantar kepada keluarga. Mereka sudah biasa membeli sebelum ini dan menjadi ‘buah tangan’ apabila pulang ke kampung. Bagaimanapun kami tidak membuat penghantaran," katanya.

Anak perempuan Sarina, Fatin Nor Amira Che Ahmad Termizi akan membantu ibunya jika ada masa terluang.
Anak perempuan Sarina, Fatin Nor Amira Che Ahmad Termizi akan membantu ibunya jika ada masa terluang.

Sarina yang mewarisi resipi lemang turun temurun keluarganya memberitahu, PKP kali ini agak memberi kesan kepada perniagaannya dan lebih 20 gerai lemang lain di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jualan raya kebiasaannya akan melebihi 1,000 batang dan ia merupakan lubuk rezeki kepada peniaga makanan tersebut walaupun lemang di kampung itu ‘tidak bermusim’.

“Lemang kami tidak bermusim, kalau bukan hari raya pun kami jual juga lemang. Tidak pernah kami tutup kedai, setiap masa ada. Bukan hari raya saja.

“Itu salah satu kelebihan peniaga di kawasan ini namun kali ini jualan jatuh mendadak.

“Apa yang penting, Aidilfitri kali ini kita jaga diri kita. Tiada apa yang boleh mengubah selain daripada sama-sama jaga diri. Saya akui sedih apabila mengenangkan kenangan zaman sebelum pandemik Covid-19 yang meriah dengan pelanggan,” katanya.

Lemang Sarina dijual pada harga serendah RM10 hingga RM12 untuk setiap tiga batang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!