Penambahan SJR akan diteliti di Selangor

Jumlah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini akan diteliti terlebih dahulu sama ada perlu penambahan atau dikekalkan pada Aidilfitri ini. - Gambar fail.
Jumlah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini akan diteliti terlebih dahulu sama ada perlu penambahan atau dikekalkan pada Aidilfitri ini. - Gambar fail.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini akan diteliti terlebih dahulu sama ada perlu penambahan atau dikekalkan pada Aidilfitri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, penambahan SJR akan dilihat dari pelbagai faktor sebelum ia dilaksanakan.

"Kita akan meneliti dan mengkaji dari pelbagai aspek dan faktor sama ada untuk tambah SJR atau tidak, memandangkan ada sektor yang dibenarkan, sekiranya tidak diteliti mungkin boleh berlaku kesesakan.

"Namun pada masa sama kawalan di setiap SJR sememangnya kita akan sentiasa ketatkan, ia bagi mengelakkan sebarang aktiviti rentas negeri berlaku dan ini kita sedaya upaya akan elakkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa sama pihaknya akan turut memperketatkan serta memberi lebih penelitian terhadap borang kebenaran rentas negeri.

"Kita akan memberi kebenaran rentas negeri kepada mereka yang ada kaitan dengan pekerjaan, pendidikan, kecemasan, sakit serta kematian.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati memalsukan dokumen mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Arjunaidi berkata, daerah yang terlibat dalam pelaksanaan PKP ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesemua daerah ini, pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan.

"Sementara itu, bagi PKPB pula, ia akan dilaksanakan di tiga daerah iaitu di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor," katanya.

Justeru, Arjunaidi menasihati orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri.

"Marilah kita bersama-sama bersatu hati dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam daerah di Selangor diletakkan di bawah PKP bermula 6 Mei sehingga 17 Mei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!