Kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Mac

Bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus kepada 15.24 juta orang terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus kepada 15.24 juta orang terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
A
A
A

SHAH ALAM – Kedudukan tenaga buruh di negara ini direkodkan semakin baik pada Mac 2021 dengan kadar pengangguran yang lebih rendah.

Ia berdasarkan statistik Survei Tenaga Buruh (STB) bagi Mac dan suku pertama tahun 2021 dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan bulan ke bulan menunjukkan situasi tenaga buruh semakin baik pada Mac 2021.

Menurutnya, bilangan tenaga buruh pada Mac 2021 naik 0.2 peratus iaitu 68.6 peratus berbanding 68.5 peratus pada Februari, membabitkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 16.08 juta orang.

“Berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 di mana kebanyakan aktiviti ekonomi serta sempadan antara negara dan negeri ditutup, Mac tahun ini menyaksikan kebanyakan negeri berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) manakala negeri lain berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kebanyakan aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Justeru, perbandingan bulan ke bulan menunjukkan situasi tenaga buruh semakin baik pada Mac 2021 dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja manakala pengangguran mencatatkan penurunan yang lebih besar.

“Kadar pengangguran bertambah baik dengan penurunan 0.1 mata peratus kepada 4.7 peratus berbanding Februari 2021. Bilangan penganggur berkurang sebanyak 24.4 ribu orang kepada 753.2 ribu orang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Secara keseluruhannya Mohd Uzir berkata, prestasi bagi suku pertama tahun 2021 menunjukkan kedudukan tenaga buruh semakin baik selaras dengan tanda pemulihan ekonomi, mencatatkan 16.01 juta orang.

Artikel Berkaitan:

“Bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus kepada 15.24 juta orang terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

“Pemulihan kedudukan tenaga buruh di Malaysia mungkin berterusan dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan ditambah pula dengan peluasan program vaksinasi Covid-19 kepada komuniti yang lebih ramai. Walau bagaimanapun, momentum positif ini dipengaruhi oleh ketidaktentuan situasi kesihatan dan seterusnya prestasi ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun ujar beliau, peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia yang mendorong pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan bersasar dan memberi isyarat kedudukan tenaga buruh mungkin berdepan dengan cabaran pada bulan-bulan akan datang.

“Walau bagaimanapun, dengan peningkatan pasaran buruh yang menggalakkan pada suku pertama 2021, adalah diharapkan agar pasaran buruh akan meneruskan momentum pemulihannya walaupun pada kadar yang sederhana,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!