Remaja buat aksi 'wheelie' ditahan polis
PASIR MAS - Tindakan seorang remaja yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi 'wheelie' dicekup polis pada Jumaat.
Remaja berusia 17 tahun itu ditahan polis pada jam 11.30 pagi selepas rakaman video dia melakukan aksi bahaya itu tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Mohd Nasaruddin M Nasir pada Jumaat.
Mohd Nasaruddin berkata, remaja berkenaan ditangkap di kawasan rumahnya di Jalan Mahmood di sini.
"Dalam serbuan itu polis turut merampas motosikal, topi keledar dan pakaian yang digunakan oleh remaja tersebut semasa melakukan aksi 'wheelie'," katanya.
Menurutnya, remaja berkenaan akan direman bermula Sabtu bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1958.
Katanya, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya patuh dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!