Penang FC waspada serangan akhir JDT
PENJAGA gol Penang FC, Samuel Somerville menganggap Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan yang mampu menghukum lawan pada minit-minit akhir sekiranya mereka leka dalam tempoh 90 minit permainan menjelang aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu.
Aksi itu merupakan pertemuan kedua Penang FC dan JDT musim ini selepas mereka bertembung pada Mac lalu di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan kemenangan 2-0 berpihak kepada skuad Harimau Selatan.
JDT menghasilkan dua jaringan tersebut pada minit-minit akhir perlawanan,sekali gus melenyapkan peluang Harimau Kumbang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Justeru, penjaga gol berusia 25 tahun itu yang baru pulih daripada kecederaan, berharap Penang FC tidak mengulangi kesilapan sama dan kekal fokus pada pertemuan di gelanggang mereka sendiri nanti.
“Walaupun seminit, kami tidak boleh hilang fokus kerana kita tahu menentang JDT tidak pernah mudah, tetapi saya percaya dengan penyokong-penyokong yang akan hadir ke Stadium Bandaraya esok akan menyuntik lagi semangat pasukan.
“Sekarang Penang FC di tangga keempat liga, dan kita sangat berharap prestasi konsisten ini akan berterusan untuk sekurang-kurangnya terus kekal di kedudukan empat terbaik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.
Somerville yang diberi kepercayaan untuk beraksi selama 90 minit ketika menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini, mengalami kecederaan jari kaki ketika Penang FC berdepan Melaka United FC bulan lalu.
“Sebenarnya memang agak kecewa kerana sudah sebulan terlepas beberapa perlawanan, tetapi inilah bola sepak dan saya perlu segera sembuh untuk kembali beraksi,” ujarnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!