Tengok dulu kutipan filem ini nanti: Syafiq Yusof
Filem yang bakal membuka tirai di pawagam bermula 21 Febuari ini menampilkan Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nam Ron, Datuk Rosyam Nor, Sasqia Dahuri dan Mas Khan.
Misteri Dilaila menjalani penggambaran selama 36 hari di Bukit Fraser tahun lalu, mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.
Malam pertama di sana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang. Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira.
Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.
Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan Dilaila?
Berkongsi mengenai filem kelapan arahannya ini, pengarah berusia 26 tahun ini memberitahu, dia telah menyenaraikan terlebih dahulu barisan pelakon filem ini sebelum mula menulis skrip.
Katanya, idea untuk menghasilkan filem misteri thriller kerana minat yang mendalam terhadap genre ini di samping Syafiq sendiri ingin menonjolkan kelainan buat peminat filem tempatan.
“Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan skrip ini secara keseluruhan. Untuk idea dan inspirasi sahaja memakan masa hampir dua bulan untuk menulis.
"Apabila melihat senarai pelakon yang terlibat, dapat lihat ia adalah gabungan kali pertama mereka di layar perak yang di mana setiap mereka mempunyai peminat yang tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam," katanya.
Dilabel sebagai “King of Plot Twist” oleh penggemar filem di Malaysia, Syafiq enggan dilabelkan begitu kerana beranggapan masih dalam proses belajar, malah gemar membuat skrip yang berlainan dan masih lagi menimba ilmu dalam proses penghasilan skrip.
"Menariknya mengenai filem ini adalah pengakhiran filem ini ditafsirkan oleh anda sendiri, tetapi saya selitkan juga jawapannya untuk difikirkan.
"Buat masa ini saya belum terfikir untuk menghasilkan sekuel Misteri Dilaila dan kita tengok dulu kutipan filem ini nanti," jelasnya.
Misteri Dilaila akan menemui penonton di 129 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!