Rosmah fail permohonan batalkan perbicaraan kes rasuah
KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor yang diarah membela diri atas pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi itu terbatal.
Menurut kertas kausa mahkamah yang diperoleh pemberita hari ini, permohonan pembatalan itu berkisar mengenai kesahihan surat pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes itu.
Beliau telah memfailkan dua afidavit berasingan untuk menyokong permohonannya melalui pasukan perundangannya Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Rosmah, 69, juga mahu perisytiharan beliau dibebaskan daripada semua tiga pertuduhan, jika mahkamah memutuskan perbicaraan itu silap.
Pengurusan kes permohonan itu ditetapkan pada Selasa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang merupakan hakim perbicaraan.
Permohonan itu difailkan berikutan Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuan Rosmah untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram, selepas pihak pendakwaan bersetuju menyerahkan dokumen itu kepada pihak pembelaan.
Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lepas.
Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.
Sebaliknya, surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun.
Pada 18 Februari 2021, Hakim Mohamed Zaini mengarahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah dan menetapkan sembilan hari iaitu pada 9, 10, 15, 16, 17, 22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk mendengar keterangan Rosmah dan saksi pembelaan lain. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!