HIDE: Elak kluster baharu dengan lebih cekap
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perkongsian senarai lokasi serta premis menerusi sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dapat mengelakkan berlakunya pembentukan kluster baharu dengan tindakan lebih cekap.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa bersetuju mengeluarkan senarai lokasi serta premis berisiko dikenalpasti sistem amaran awal HIDE sebagai lokasi titik panas penularan Covid-19.
Khairi Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan berkata, perkongsian senarai lokasi ini bertujuan membantu masyarakat merancang perjalanan dan keputusan yang wajar supaya dapat menghindari risiko jangkitan Covid-19.
Selain itu beliau memberitahu, ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis daripada menjadi pusat penularan jangkitan Covid-19.
"Analisis HIDE di bawah kendalian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat ramalan ke atas premis-premis berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19 dalam tempoh tujuh hari berdasarkan pemantauan dilakukan.
"Penyenaraian lokasi serta premis ini amat penting dan wajar dilakukan memandangkan bilangan kes baharu positif Covid-19 berada pada tahap yang sangat membimbangkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, sebanyak 23,712 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan manakala kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 21 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu berbanding minggu sebelum itu.
Menurutnya, penyenaraian lokasi dan premis ini membolehkan intervensi awalan dan tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa, pemilik premis serta orang ramai bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu.
"Antara intervensi awal yang dilakukan ialah menghantar notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera, kawalan pergerakan pengunjung dengan lebih ketat dan menghalang kemasukan pengunjung dengan status berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera.
"Selain itu, mewujudkan sistem gelembung tempat kerja dan susunan bekerja dari rumah dan melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja.
"Orang ramai juga dinasihatkan menangguhkan kunjungan ke lokasi atau premis yang disenaraikan. Patuhi garis panduan ditetapkan serta sentiasa amalkan budaya normal baharu sekiranya masih perlu mengunjungi lokasi terbabit," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Premis berisiko sebar Covid-19 disenarai di bawah HIDE
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!