Masjid Selayang Baru ditutup sementara
SELAYANG - Masjid Selayang Baru ditutup sementara selepas terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan ahli jawatankuasanya.
Penutupan operasi itu bermula jam 6 petang Jumaat lalu mengikut arahan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) seperti notis dikeluarkan oleh setiausaha masjid berkenaan.
Menurut Setiausaha Masjid Selayang Baru, Jumari Talip, penutupan sementara itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.
"Semua program pengimarahan masjid adalah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
" Mohon doa keselamatan dan kesihatan serta kemaafan atas sebarang kesulitan," menurut notis yang diedarkan pada Jumaat.
Difahamkan, individu yang dijangkiti Covid-19 itu adalah Nazir Masjid berkenaan yang dikesan positif sewaktu menjalani rawatan ulser di sebuah hospital swasta pada hari sama (Jumaat).
Jawatankuasa masjid kini dalam proses menjalani ujian saringan Covid-19 susulan pengesanan kes positif itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!