Kumpulan pertama mahasiswa USIM dihantar pulang
NILAI - Seramai 181 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang tinggal di Kelantan dan Terengganu telah selamat dihantar pulang menaiki bas pada jam 9 pagi, Sabtu.
Mereka merupakan kumpulan pertama mahasiswa yang dihantar pulang melalui inisiatif Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bermula pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021 ini.
Seramai 1,979 mahasiswa terlibat dalam program pergerakan pulang berkenaan dengan 538 daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.
Secara keseluruhan, sebanyak 18 buah kenderaan universiti iaitu bas dan kenderaan pelbagai guna (SUV) telah disediakan untuk menghantar kumpulan pelajar terbabit secara berfasa ke zon-zon yang telah dikenal pasti.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, pergerakan mahasiswa USIM yang diuruskan penghantaran mereka oleh universiti akan berjalan selama selama empat hari mulai Sabtu (8 Mei) hingga Selasa (11 Mei ) ke 12 buah negeri.
“Kumpulan pelajar ini akan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut jadual masa dan hari bertolak yang telah siap disusun oleh jawatankuasa khas yang kita bentuk bagi memastikan kelancaran operasi ini.
"Pada pagi ini(Sabtu) kita menghantar kumpulan pertama pulang Kelantan dan Terengganu dan Alhamdulillah, proses ini berjalan lancar", katanya.
Menurutnya, pergerakan terakhir adalah pada Selasa depan iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang mana kenderaan yang membawa mahasiswa ini akan berhenti di stesen-stesen bas utama yang dikenal pasti sebelum dijemput oleh ahli keluarga.
Ujarnya, kumpulan mahasiswa yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan oleh universiti untuk pulang menggunakan kenderaan sendiri dan dijemput oleh ibu bapa atau penjaga.
"Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.
“Semua pelajar ini kita wajibkan mendaftarkan maklumat mereka secara dalam talian (online) di capaian khas yang kita sediakan dan turut diberikan Surat Kebenaran Rentas Daerah/Negeri daripada USIM sebagai rujukan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Pergerakan mahasiswa ini melibatkan kerjasama padu pelbagai jabatan khususnya Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan operasi ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP), berjalan lancar serta semua pelajar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.
Seramai 66 mahasiswa memilih untuk terus tinggal di kampus semasa cuti Hari Raya Aidilfitri nanti dan pihak universiti melalui PRUPEL dan BHEP akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa diberi perhatian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!